Sunday, December 18, 2011

Asam pedas Claypot dihidang panas


PELANGGAN boleh memilih sendiri ikan kegemaran di Restoran Claypot Asam Pedas di Kota Laksamana, Bandar Hilir, Melaka.


JIKA berkunjung ke Melaka, tidak lengkap tanpa menikmati hidangan asam pedas kerana masakan itu cukup popular dan sinonim di negeri tersebut.

Sebut sahaja asam pedas, sudah terbayang keenakannya yang menjadi kebanggaan orang Melaka. Ada yang menyebut jika ingin menikmati asam pedas yang 'sebenar', pergilah ke Melaka.

Tidak hairanlah restoran asam pedas banyak terdapat di bandar raya Melaka bagaikan cendawan tumbuh seperti di Banda Hilir, Kota Laksamana, Klebang, Bukit Cina dan sebagainya yang sentiasa menjadi tumpuan.

Di mana-mana sahaja anda berada, sudah pasti masakan asam pedas menjadi menu utama di kebanyakan restoran di bumi bersejarah ini.

Ini kerana masakan asam pedas boleh didapati di merata-rata restoran yang menyajikannya bukan sahaja pada waktu makan tengah hari, malah sehingga lewat pagi.

Bezanya asam pedas di Melaka kerana masakan itu disajikan terus dari dapur, yang dimasak panas-panas iaitu ia hanya akan dimasak apabila mendapat pesanan.

Restoran Claypot Asam Pedas yang terletak di Kota Laksamana berhampiran Jonker Walk adalah antara restoran paling popular menghidangkan masakan asam pedas.

Ia bukan sahaja dikunjungi oleh orang ramai tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India, malah pelancong dari luar negara turut datang ke situ.

Tidak dinafikan restoran itu cukup terkenal di kalangan penduduk tempatan dan juga pengunjung luar kerana keenakan asam pedas yang dihidangkan panas-panas serta menyelerakan.

Jangan terperanjat apabila kali pertama singgah di restoran itu, lautan manusia memenuhi setiap meja dan kerusi yang disediakan sebaik sahaja dibuka dari pukul 6 petang sehingga 5 pagi, setiap hari melainkan Selasa ia ditutup.

Ikan seperti jenak, pari, kembung, tenggiri, parang dan daging tetel menjadi pilihan asam pedas yang disajikan di restoran tersebut.

Lebih membangkitkan selera apabila asam pedas di restoran itu dihidangkan di dalam mangkuk tanah liat yang mengekalkan kesedapan, panas dan bau yang mengujakan.

Hidangan asam pedas daripada lima jenis ikan dan daging tetel itu dimakan bersama nasi putih, sayur, telor masin dan sambal belacan.

Kesedapan asam pedasnya tidak disangkal lagi, malah ada di kalangan pelanggan yang sanggup menghirup kuahnya walaupun ikannya telah habis dimakan.

Harga yang ditawarkan adalah RM7.50 bagi ikan pari, kembung dan tetel. Namun bagi ikan jenak, tenggiri dan parang, ia bergantung kepada harga pasaran semasa ikan tersebut.

Selain asam pedas, restoran itu juga menyajikan pelbagai makanan lain seperti sate, otak-otak, burger, nasi lemak, mee goreng, bihun goreng, nasi goreng dan mee bandung.

Keenakan gulai asam pedas yang disajikan di restoran milik Suhana Mahad, 35, dan suaminya, Muhammad Affandy Chan Abdullah, 35, itu adalah kerana resipinya diwarisi daripada ibunya, Busu Baba, 65.

Muhammad Affandy ketika ditemui S2 berkata, ibu mertuanya berniaga asam pedas sejak 30 tahun lalu, bermula di pasar borong lama Kota Laksamana.

''Selepas beberapa kali berpindah, saya dan isteri membuka restoran di Kota Laksamana pada tahun 2000 hingga sekarang," ujarnya.

Katanya, setiap hari ibu mertuanya akan memasak kuah asam pedas daripada pelbagai jenis ramuan yang menjadikan keenakannya sejak 30 tahun lalu kekal hingga hari ini.

Ditanya apakah yang menyedapkan masakan asam pedas itu katanya, paling penting adalah cili kering untuk masakan ini dikisar sendiri dan ditumis di atas api perlahan sehingga terbit minyak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: