Sunday, December 18, 2011

Jakarta kota pilihan


Panorama bandar Jakarta pastinya memukau mereka yang sukakan kehidupan di kota raya.


JAKARTA sememangnya mempunyai daya pesona luar biasa kerana kedudukannya sebagai ibu kota negara Indonesia telah memacu perkembangan sebagai pusat pemerintahan, perindustrian dan kebudayaan.

Berunsurkan seni budaya yang beraneka ragam menjadikan Jakarta semakin memukau, ibarat pintu gerbang yang megah menyerap ribuan pengunjung dari luar negara ke sana.

Oleh itu, bagi mereka yang gemar melancong, Jakarta merupakan antara negara yang wajib dilawati kerana ia menawarkan pelbagai tempat percutian menarik apatah lagi bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke negara Gajah Mada itu.

Sejarah ibu kota tersebut bermula dari abad ke-12. Dari sebuah pelabuhan yang diberi nama Sunda Kelapa, kini Jakarta lebih dikenali dunia sebagai sebuah kota yang mempunyai penduduk paling padat di Asia Tenggara.

Pada tahun 1527, Putera Fatahillah yang beragama Islam telah menukar nama bandar tersebut kepada Jayakarta.

Bagaimanapun, nama Jakarta telah diterima sebagai satu singkatan daripada perkataan Jayakarta apabila bandar tersebut ditawan Jepun pada tahun 1942.

Selepas tamat peperangan dunia kedua, Indonesia menjadikan daerah Yogyakarta sebagai ibu negara tetapi selepas kemerdekaannya, Jakarta dikekalkan sebagai ibu negara.

Apabila menyentuh tentang destinasi pelancongan di Jakarta pastinya pelancong mempunyai empat pilihan sebagai destinasi utama.

Ini kerana, Jakarta terbahagi kepada empat bahagian iaitu Jakarta Barat, Jakarta Selatan, Jakarta Timur dan Jakarta Utara.

Keempat-empat bahagian tersebut menyediakan destinasi pelancongan yang tersendiri.

Destinasi yang mengasyikkan

Selain monumen lama yang terkenal seperti Candi Borobudur, lokasi di sekitarnya juga masih menyimpan beberapa lokasi candi terkenal seperti Candi Prambanan yang terletak di Yogyakarta Timur.


Antara masakan tempatan yang membangkitkan selera setiap pengunjung.


Istana Ratu Boko, Candi Barong, Candi Gampingan turut menjadi antara lokasi paling digemari pengunjung.

Selain itu, Jakarta juga terkenal sebagai syurga membeli belah dengan pelbagai penganjuran pertunjukan fesyen terkini, selain pesta dan festival sepanjang tahun.

Apatah lagi dengan kemudahan penerbangan secara terus ke Jakarta melalui perkhidmatan yang ditawarkan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia mahupun syarikat penerbangan lain, pasti memudahkan lagi percutian idaman anda ke bandar tersebut.

Jika berhajat untuk menjelajah ke seluruh Jakarta, pelbagai pilihan kemudahan pengangkutan awam boleh digunakan pengunjung ketika melawat bandar tersebut.

Sepanjang perjalanan, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan seperti kemudahan kereta api (Persero) yang terletak di stesen Gambir (Jakarta Tengah), perkhidmatan bas Transjakarta atau skuter bajaj.

Jika di Thailand terkenal dengan tuk-tuk, di Jakarta pula terkenal dengan skuter bajaj yang boleh membawa penumpang dalam satu kabin kecil di bahagian belakang.

Malah dengan menggunakan perkhidmatan skuter bajaj, pengunjung boleh menjimatkan masa melawat sekitar bandar tanpa perlu mengharung kesesakan lalu lintas.

Selain itu, kosnya juga lebih murah iaitu hanya Rp5,000 (RM1.75) untuk ke satu destinasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: