KUALA LUMPUR – Seorang kerani kanan sebuah bank yang cedera parah selepas ditikam sebanyak 15 kali sempat menjerit meminta tolong melalui tingkap rumahnya sebelum dia ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah semalam.
Kejadian pukul 1.55 pagi di tingkat satu sebuah rumah kedai dekat Jalan Puncak Desa Kepong di sini itu menyebabkan wanita bujang, Rozana Mohd. Yusak, 35, mati selepas ditikam di belakang badan, paha dan siku kiri.
Penyerang yang dikenali Rozana itu dipercayai terus melarikan diri bersama beberapa dokumen penting termasuk MyKad mangsa. Wanita itu yang sedang nazak di ruang tamu kemudian menggagahkan diri pergi ke tingkap depan rumahnya sebelum menjerit meminta tolong.
Seorang lelaki yang terdengar jeritan sayu itu menghubungi polis dan ambulans.
Rozana yang memakai seluar pendek dan singlet ketika ditemui bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Selayang 15 minit kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat dua tikaman pada paha kiri, tiga di siku kiri dan sembilan di belakang badan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: