|
|
SEPANJANG pembabitannya dalam industri hiburan selama 25 tahun, pelbagai rentetan kejayaan yang telah diraih oleh penyanyi terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya sebagai seorang anak seni.
Cukup popular dengan lagu berjudul Kaulah Segalanya yang turut mampu menawan pendengar di negara ini, Ruth pernah meraih beberapa anugerah yang bertaraf dunia serta membuat persembahan di luar negara seperti menjadi penyanyi undangan dalam konsert penyanyi Mario Frangoulis pada tahun 1992.
Bagaimanapun, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa penyanyi kelahiran Bandung itu sebelum ini pernah cuba mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
“Sebenarnya sewaktu saya mula lahir dengan album pertama pada tahun 1987, saya sudah terfikir untuk tidak mahu lagi menjadi seorang penyanyi kerana perjalanan hidup yang sudah berubah.
“Ketika itu saya fikirkan dengan menjadi seorang penyanyi sudah tentu saya tidak mampu menjalani kehidupan normal seperti makan di tempat umum. Namun, sangkaan saya silap kerana selama 25 tahun dalam bidang ini saya masih mampu menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya.
Ketika ditemui sewaktu sidang akhbar kedua sempena Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya, penyanyi tersebut memberitahu, dengan sokongan yang diberikan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan membuatkan dia membatalkan hasrat untuk berhenti menjadi penyanyi.
Jelasnya, sebagai seorang anak yang paling bongsu dalam keluarga, dia sering kali diberi dorongan oleh kedua-dua orang kakaknya yang turut mempunyai minat dalam bidang nyanyian.
“Selain itu rakan-rakan rapat juga menjadi sebab utama kepada kejayaan saya sekarang. Tanpa pengetahuan saya, mereka telah mendaftarkan nama saya untuk menyertai sebuah pertandingan nyanyian.
“Sehingga mereka sanggup mengumpulkan duit beramai-ramai untuk membayar wang pendaftaran pertandingan berkenaan sehinggalah saya muncul sebagai juara. Jadi, sudah tentu saya akan mengecewakan mereka sekiranya saya berhenti menyanyi,” ujarnya.
Pada masa yang sama, ibu kepada dua orang anak perempuan iaitu Nadine dan Amabel yang masing-masing berusia 16 tahun dan 11 tahun itu memberitahu dia tidak kisah sekiranya mereka mahu menjadi penyanyi sepertinya.
Menurut Ruth, dia mulanya tidak menyangka kedua-dua anaknya itu mempunyai bakat menyanyi sehinggalah mereka muncul sebagai pemenang dalam sebuah pertandingan nyanyian baru-baru ini.
“Saya langsung tidak pernah memaksa anak-anak untuk mengikut jejak langkah saya menjadi penyanyi. Buat masa ini saya hanya membenarkan Nadine untuk menjadi penyanyi memandangkan usianya yang semakin meningkat dan pada tahun hadapan dia akan mula merakamkan lagu.
“Cuma saya sentiasa menasihati Nadine supaya menjadi dirinya sendiri kalau mahu berkecimpung dalam bidang ini dan bukan disebabkan ibunya adalah penyanyi terkenal. Sebagai ibu, saya tetap menyokongnya seperti apa yang pernah saya kecapi dahulu,” ujarnya.
Kenangan terindah
Pada 17 Disember ini, penyanyi ini bakal mengadakan konsert sulungnya yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dianjurkan oleh A'Acaralis Kuala Lumpur.
Ujar Ruth, dia mengakui sangat teruja serta tidak sabar untuk menghiburkan peminat-peminatnya di Malaysia dan akan memastikan konsertnya itu bakal memberikan satu kenangan yang paling indah buat mereka.
“Sebelum ini saya seringkali membuat persembahan di sini dan menganggap Malaysia sebagai rumah kedua saya. Namun, selepas 25 tahun barulah saya berkesempatan untuk mengadakan sebuah konsert solo di sini.
“Lagipun konsert ini adalah sebagai membalas pertanyaan peminat yang sering bertanyakan tentang bila saya akan mengadakan konsert di negara ini. Malah, ia adalah sebahagian daripada siri jelajah konsert saya yang bermula sejak tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, sewaktu konsert berkenaan dia akan menyampaikan sebanyak 30 buah lagu termasuk solo dan medley. Malah, terdapat beberapa kejutan yang akan dilakukan semasa konsert berlangsung.
Lebih istimewa lagi, penyanyi versatil iaitu Datuk Khatijah Ibrahim akan membuat penampilan istimewa dengan menyanyikan tiga buah lagu serta sebuah lagu duet bersamanya nanti.
“Saya anggap dengan persetujuan Kak Kathy yang akan tampil pada konsert saya itu adalah sebagai satu penghormatan yang cukup besar memandangkan beliau adalah seorang penyanyi Malaysia yang cukup saya kagumi,” jelasnya.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert tersebut yang berharga RM1,500, RM788, RM588, RM388 dan RM128 masih boleh diperolehi di beberapa cawangan Rock Corner seperti Subang Parade, Mid Valley, KLCC, The Curve dan Khatijah Restaurant Petaling Jaya serta menghubungi talian 03-79576088 atau laman web www.ilassotickets.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: