Friday, December 16, 2011

Tidak serik beraksi seksi



NAMA Nurul Ain Nordin, 23, sebelum ini tiada siapa yang peduli apatah lagi ingin mencungkil siapakah gerangannya. Namun, apabila gambar mirip aksi separuh bogelnya itu tersebar di internet ramai pula pihak yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang siapakah gerangannya Nurul Ain dan tidak kurang juga yang mengeji dan menyifatkan penampilan pelakon yang baru setahun jagung itu sebagai melampau.

Semua itu berlaku akibat sikap terbuka Nurul Ain beraksi memakai kain batik dan mendedahkan belakang badannya sehingga ke pangkal punggung untuk hiasan poster filem pertamanya Suatu Malam Kubur Berasap.

Namun, perlukah mendedahkan tubuh untuk sebuah produksi filem tempatan?

Nurul Ain memberikan jawapan klise - dia sanggup melakukankannya demi menjayakan watak. Katanya, perkara itu dilakukan atas perjanjian bersama dengan pihak produksi filem itu iaitu OutLoud Studios Sdn. Bhd.

“Saya cuma mendedahkan belakang badan saya pada kru filem tetapi tidak pada penonton.

Dalam filem itu nanti penonton akan lihat belakang badan saya itu terdapat efek akar dan kudis dan ia sama sekali menutupi belakang badan saya,” katanya yang melakonkan watak wanita bernama Siti Chempaka yang mati dirogol dan dibunuh dalam filem Suatu Malam Kubur Berasap yang dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara menjelang 22 Disember ini.

Dalam nada kesal, ujar Ain, dia tidak sangka gambar yang dirakamkan itu disebarkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab tanpa pengetahuannya.

“Saya mangsa keadaan. Saya tidak tahu bagaimana gambar itu boleh tersebar. Saya dapat tahu mengenai gambar itu juga melalui sebuah blog lantas terkejut dan sedih dengan tindakan serta komen-komen yang dilemparkan penulis tersebut kepada saya.

“Saya tidak pasti bagaimana gambar itu boleh terlepas ke tangan individu itu kerana mengikut perjanjian bersama dengan pihak produksi gambar itu hanya digunakan untuk proses suntingan poster filem Suatu Malam Kubur Berasap,” luahnya kecewa kepada Kosmo! ketika sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur.

Apa yang menjadi persoalan, adakah gambar tersebut disebarkan oleh pihak produksi sendiri sebagai salah satu strategi untuk mencipta kontroversi seterusnya melariskan filem tersebut? Kenapa Nurul Ain tidak berfikir jauh sebelum beraksi sedemikian rupa? Atau mungkin dia terlalu naif mengikut sahaja kemahuan pihak produksi atau berpura-pura kesal tetapi sanggup berkorban demi menjayakan watak?

Ekoran penyebaran gambar tersebut juga anak kedua daripada tiga beradik itu dihimpit kebencian maha hebat daripada keluarga, teman-teman dan juga pensyarah-pensyarahnya.

Malah, muncul khabar angin Nurul Ain turut dibuang universiti dan keluarga. Benarkah?

“Saya bukan kena buang. Memang ada seorang daripada pensyarah fakulti saya yang mengeluarkan kenyataan kepada pihak fakulti bahawa saya tidak layak digelar pelajar dan patut dibuang ekoran kontroversi tersebut.

“Atas sebab itu saya segera berjumpa dengan dekan dan memberitahu perkara sebenar kepadanya. Akhirnya saya dapat meneruskan pembelajaran saya yang tinggal hanya satu semester itu dan berjaya menamatkannya sebelum memperoleh diploma Teknologi Kreatif dan Artistik.

“Saya akui memang ibu saya begitu marah dan terkilan dengan tindakan saya dan penyebaran gambar tersebut. Hampir sebulan dia tidak mahu bercakap dan berjumpa dengan saya. Malah, sehingga kini dia masih marahkan saya dengan penyebaran gambar tersebut.

“Saya faham ibu marah sebab dia merupakan pensyarah dan kaunselor. Bila jadi isu macam ini ramai yang keluar kenyataan berbaur kecaman di facebook dan blog yang berbunyi ‘mak kaunselor tetapi anak berperangai macam ini’,” ujarnya yang turut mengakui ibunya sebelum ini tidak mengetahui tentang tindakannya beraksi sedemikian rupa dalam filem tersebut.

Ungkap Ain yang memohon dirahsiakan nama universiti tempat dia belajar, teman lelaki dan juga rakan-rakannya sanggup memutuskan hubungan dengan dirinya selepas tercetuskan kontroversi penyebaran gambar tersebut.

Ditanya adakah dia serik untuk beraksi seksi seperti itu menerusi drama atau filem lain selepas ini, tuturnya berani dan tegas: “Saya tidak serik dan tetap akan beraksi seksi jika itu tuntutan jalan cerita. Asalkan ia tidak terlalu keterlaluan.”

“Saya berani untuk buat lakonan seperti itu lagi. Kita kena ambil yang positif. Masih belum ada lagi pelakon wanita yang berani seperti itu. Saya mahu berlakon seperti pelakon-pelakon wanita Hollywood yang tidak takut menjayakan apa jua watak yang diminta tetapi ia tidaklah sehingga keterlaluan,” tegasnya.


DARI kiri: Angah, Ain dan Isma berganding dalam filem Suatu Malam Kubur Berasap.


Sementara itu, menurut penerbit eksekutif dan Outloud Studio yang juga merupakan pengarah Suatu Malam Kubur Berasap, Ernie Chen, foto kontroversi membabitkan Nurul Ain tersebut bukan disebarkan oleh pihaknya dan dia sendiri tidak mengetahui siapakah dalang di sebalik perbuatan tidak bermoral itu.

“Kami tidak mempromosikan foto sebegitu kerana itu bukan apa yang kami rancangkan. Ia juga tidak masuk dalam rangka promosi kami dan saya rasa orang lain yang cuba untuk ‘mempromosi’kan filem ini untuk kami.

“Foto itu juga sebenarnya tidak akan keluar langsung sebegitu rupa kerana apa yang ingin dilakukan adalah menambah mekap untuk Ain kelihatan seperti hantu dan bukannya terdedah seperti yang tersebar dalam laman web itu,” tegas Ernie yang turut memberitahu terdapat dua babak filem itu telah dipotong atas arahan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Dua babak tersebut membabitkan babak Ain yang baru selesai mandi di sebatang sungai yang mana menampakkan sedikit bahagian bahunya dan babak lakonan Ain bersama Zach X-Factor, yang mana Zach ketika digambarkan sebagai mencium dahi Ain.

Menurut Ernie, dia sendiri tidak faham mengapa babak tersebut harus dipotong kerana ia tidak keterlaluan sepertimana filem-filem romantik tempatan lain yang tidak pula dipotong babak-babak sebegitu.

“Namun, kami terpaksa akur dengan permintaan LPF dan memotong dua babak tersebut yang masing-masing memakan durasi selama dua saat.

Katanya lagi: “Dari mula penyebaran foto dan kontroversi itu secara meluas menerusi internet, pihak kami mereka tidak pernah ingin memberi sebarang penjelasan mengenai isu tersebut merasakan ia suatu perkara yang tidak perlu.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: