Sunday, December 18, 2011

Ilmu jet ski ‘penyelamat’ Nazar

PELBAGAI...jet ski milik individu persendirian serta agensi kerajaan mendapatkan servisnya.
PELBAGAI...jet ski milik individu persendirian serta agensi kerajaan mendapatkan servisnya.

MATANYA asyik memandang bangunan tiga tingkat yang menempatkan beberapa model jet ski dan kenderaan ATV yang digemari peminat sukan ekstrem.

Boleh dikatakan usahawan berusia 46 tahun ini seakan-akan memecah tradisi kerana berani menceburi bidang berbeza iaitu perniagaan sukan ekstrem.

  • Foto

    TURUT DIPASARKAN...kenderaan ATV keluaran BRP Incorporation.

  • Foto

    KOMUNIKASI...Nazar sentiasa berbincang dengan kakitangannya.

  • Foto

    KENANGAN...Nazar dan keluarga bergambar bersama kenalan di Australia.

  • Foto

    TIDAK LOKEK...Nazar berkongsi kemahiran dengan pekerjanya.

Usahanya berbaloi apabila namanya dikenali penggemar sukan berkenaan serta syarikatnya, Meganrata Sdn Bhd mempunyai kredibiliti tersendiri di peringkat antarabangsa.

Bagi Nazar Omar, beliau sedikit pun tidak mendabik dada serta bicaranya lebih banyak merendah diri dengan mengatakan kejayaan hari ini bukan usahanya sendiri, sebaliknya membabitkan kerja keras keluarga serta jasa kenalannya yang sangat besar terhadapnya.“Saya tidak dapat melupakan budi seorang kenalan kerana kesanggupan beliau menyumbang dalam pembangunan perniagaan saya.“Pendek kata, tanpa bantuannya yang sudi menyalurkan pembiayaan kewangan untuk saya mendapatkan tender daripada kerajaan ketika itu, mustahil syarikat saya boleh berdiri teguh seperti hari ini,” katanya.

Menurut Nazar, bantuan kenalannya iaitu Ahmad Faez Yahaya, anak kepada Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, disifatkan sebagai suntikan semangat baru sewaktu beliau hampir putus harapan kerana kegagalan mendapat pembiayaan bank.

“Ketika itu, saya dan isteri pergi ke setiap bank untuk memperoleh dana bagi memenangi tender kerajaan ketika itu. Namun semuanya ditolak kerana kami tidak mempunyai aset untuk dicagarkan kepada pihak bank.

“Hanya Tuhan tahu betapa saya dan isteri berusaha keras mendapatkan bantuan kewangan ketika itu bagi memperkembangkan perniagaan kami,” katanya sambil menyifatkan anak kepada ahli perniagaan terkenal itu bukan sekadar kenalan, tetapi mentor terbaik dalam bidang perniagaan.

Beliau kini mampu berbangga apabila sokongan kenalannya serta usaha gigih isterinya, Rashidah Abdul Majed, 43, membolehkan syarikatnya Meganrata Sdn Bhd mendapat hak pengedaran sepenuhnya jet ski di Malaysia bagi memasarkan produk keluaran Bombardier Incorporation, syarikat terkemuka dari Kanada.

“Sekitar 2008, syarikat mendapat hak penuh dalam mengedarkan jet ski jenama Sea Doo, sedangkan bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan syarikat itu.

“Mereka sangat teliti dan kerjasama antarabangsa dijalinkan antara pihak saya dan mereka secara berperingkat-peringkat.

“Mula-mula syarikat saya membekalkan alat ganti, dan selepas melihat potensi serta servis syarikat saya pada klien, mereka mulai yakin lalu memberikan hak pengedaran sepenuhnya untuk jet ski jenama Sea Doo,” katanya.

Pernah diiktiraf sebagai syarikat kedua terbaik bagi rantau Asia Pasifik kerana jualan produk jet ski yang memberangsangkan antara kenangan paling manis sepanjang pembabitan beliau dan isteri dalam perniagaan itu.

“Saya tidak sangka Meganrata mampu menyaingi syarikat di rantau Asia selaku syarikat mempunyai prestasi baik pada tahun lalu.

“Mungkin faktor strategi jualan jangka masa panjang yang berjaya mengekalkan hubungan baik dengan klien menyebabkan mereka yakin dan berterusan mendapatkan perkhidmatan syarikat kami.

“Meskipun pada awalnya harga ditawarkan lebih tinggi berbanding syarikat lain, ia berbaloi untuk perkhidmatan ditawarkan oleh Meganrata dalam jangka masa panjang,” katanya yang turut mahir memperbaiki kraf air berkenaan.

Kemahiran memperbaiki diperoleh berdasarkan pengalaman dilaluinya ketika berkhidmat dengan syarikat yang pernah memasarkan jet ski berkenaan.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai jurujual di syarikat yang mengedar dan memperbaiki jet.

“Ketika itu, polisi syarikat saya mewajibkan setiap pekerja memiliki jet ski supaya mengenali produk dengan lebih dekat.

“Tugas saya bukan mudah, selain bertanggungjawab menjual jentera kecil ini, saya perlu belajar setiap aspek mengenainya.

“Tidak lama selepas itu, saya kehilangan pekerjaan kerana ekonomi dunia mengalami kegawatan teruk yang memberi tempias kepada syarikat ketika itu,” katanya yang membuka bengkel memperbaiki jet ski sebaik berhenti berkhidmat dengan syarikat itu.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, dia mula membuka bengkel kecil-kecilan disebabkan kerap menerima tawaran memperbaiki secara persendirian daripada klien yang pernah berurusan dengannya.

“Mujur saya mempunyai hubungan baik dengan pelanggan yang pernah membeli jet ski, dan ini membuatkan rezeki saya tidak terhenti begitu saja.

“Meskipun kehilangan pekerjaan, saya bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan dengan memperbaiki jet ski pelanggan yang masih menagih perkhidmatan saya.

“Alhamdulillah, ia membantu saya terus menyara keluarga meskipun ia dilakukan kecil-kecilan dan mulai saat itu saya serta isteri mengenal pasti potensi perniagaan lasak ini,” katanya yang mahu melihat ia sebagai perniagaan keluarga yang berjaya.

Oleh itu, beliau tidak ragu-ragu memperkembangkan bidang perniagaan sukan lasak menerusi tender kerajaan dan pada masa sama mensasarkan pembeli persendirian.



PROFIL:

NAMA: Nazar Omar
UMUR: 46 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
ISTERI: Rashidah Abdul Majed
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Institut Bombardier Recreational Products Inc (BRP), Sydney, Australia (2007); Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam (2002)


INFO SYARIKAT

NAMA: Meganrata Sdn Bhd

PENUBUHAN: Mula ditubuhkan pada 2002 oleh Pengarah, Nazar Omar bersama isteri, Rashidah Abdul Majed

LOKASI SYARIKAT: No 2, Jln BPU 6, Bandar Puchong Utama, 47100 Puchong, Selangor

JENIS PERNIAGAAN: Perniagaan sukan lasak seperti jet ski jenama Sea Doo serta ATV dan pelbagai aksesori sukan lasak berkaitan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: