Sunday, December 18, 2011

Buka pejabat di laut

pix_middle

ANDA pernah mendengar mengenai syarikat teknologi tinggi yang bermula di garaj di Lembah Silicon. Bagaimana dengan sebuah kapal?

Itu idea yang ditimbulkan oleh beberapa rakan yang mahu melabuhkan sebuah kapal di luar pantai dengan menjadikannya bandar terapung bagi menempatkan usahawan asing yang mempunyai impian mewujudkan sebuah syarikat seperti Google tetapi tidak memperoleh visa untuk bekerja di Amerika Syarikat.


Blueseed yang berpangkalan di Sunnyvale berkata, undang-undang imigresen Amerika Syarikat ketika ini boleh memusnahkan impian, inovasi dan peluang pekerjaan untuk warga asing di negara itu. Dengan adanya bandar raya terapung itu, ia boleh menjadi ‘penawar’ apabila ia dapat memberikan usahawan asing tempat untuk membina syarikat mereka dengan menaiki bot dalam masa yang singkat daripada hab teknologi tinggi.

  • Foto

    CANGGIH... bandar terapung Dua Menara Blueseed yang menjadi tumpuan.

  • Foto

  • Foto

    CADANGAN... sebuah lagi bandar terapung yang mungkin dibina oleh Blueseed.

“Ramai orang berkata: ‘Saya berminat untuk ke Silicon Valley.’ Tetapi tidak ada cara untuk mereka berbuat demikian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Blueseed, Max Marty.


Marty, anak pendatang Cuba mendapat idea mengenai bandar raya terapung itu selepas mendengar keluhan beberapa rakan sekuliah di Sekolah Perdagangan Universiti Miami yang kecewa kerana terpaksa meninggalkan Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajian. Menurut Marty, bandar raya terapung itu akan dibina dengan menggunakan kapal pelancong, tongkang atau kapal pengangkut pesawat yang sudah diubah suai dan dan boleh menempatkan kira-kira 1,000 orang dan berlabuh kira-kira 19 kilometer di perairan antarabangsa ke barat daya San Francisco.


“Ia boleh didaftarkan di negara yang mempunyai sistem perundangan yang bereputasi baik, seperti Bahamas atau Kepulauan Marshall,” kata Marty.Katanya, kerana alasan ekonomi, kapal pelancong mungkin boleh dibeli dengan harga murah ketika ini. “Banyak kapal pelancong yang tersadai kerana masalah kemelesetan ekonomi. Tidak ada masalah untuk mendapatkannya.” Apabila menjadi kenyataan kelak, penduduknya akan diwajibkan mengikut undang-undang negara tempat kapal itu didaftarkan. Mereka akan dibawa ke darat dengan mengguna visa perniagaan sementara atau pelancong untuk menemui pelabur, rakan perniagaan dan lain-lain. Presiden Blueseed, Dario Mutabdzija, berkata, perbincangan bersemuka tidak boleh dipandang remeh apabila berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan mendapatkan dana daripada pelabur.


“Memang benar kita hidup dalam zaman yang saling berkait menerusi Skype atau dan sidang video yang lain. Tetapi, jika anda ingin mengembangkan sebuah syarikat, interaksi fizikal adalah amat penting. Dengan berpusat di bandar raya terapung itu, ia akan membolehkan usahawan untuk berinteraksi secara fizikal dengan bakal pelabur. Mereka hanya perlu menaiki bot dan mendarat di Lembah Silicon. Kerana itu kedekatan dengan hab teknologi tinggi itu.” Bandar raya terapung itu boleh terdiri daripada kapal pelancongan atau tongkang yang sudah diubahsuai dan disewa atau dimiliki oleh Blueseed. Ia akan mempunyai segala kemudahan teknologi tinggi yang diharapkan lengkap dengan kemudahan seperti yang terdapat di pejabat gergasi Internet seperti Facebook dan Google. Kos untuk ruang bekerja dan tempat tinggal mungkin sekitar AS$1,200 sebulan.Sokongan logistik, termasuk makanan dan bekalan lain akan diperoleh menerusi perniagaan tempatan di sepanjang pantai, lantas membantu ekonomi Half Moon Bay dan San Francisco meskipun sehingga ini belum dapat dipastikan dengan tepat pelabuhan mana yang akan digunakan oleh Blueseed. Sebuah helikopter juga akan disediakan untuk kecemasan.


Idea Blueseed sudah mendapat sokongan. Pelabur Lembah Silicon, Peter Thiel yang juga pengasas PayPal mengumumkan, beliau akan mengetuai kajian membiayai Blueseed yang merancang mendapatkan pelaburan antara AS$10 juta hingga AS$30 juta dalam masa setahun setengah. Projek itu dijadual dilancarkan hujung 2013.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment