Sunday, December 18, 2011

‘Laga hidung’ pahlawan cilik

KEBANGGAAN...pokok paku pakis menjadi kebanggaan penduduk Rotorua.
KEBANGGAAN...pokok paku pakis menjadi kebanggaan penduduk Rotorua.

PERJALANAN dari Lapangan Terbang Auckland ke Rotorua yang mengambil masa hampir empat jam tidak menjemukan kerana dapat menyaksikan pelbagai keindahan yang menarik dan kawasan berbukit, terutama apabila hampir di Manganoa.

Rotorua atau lebih dikenali sebagai Tanah Maori di Pulau Utara mempunyai banyak keindahan dan pemandangan yang menarik kerana ia dikelilingi tasik.

  • Foto

    TERSENYUM...penulis (tengah) bersama dua lagi rakan menaiki ‘swoop’.

  • Foto

    SENI UKIR...seni ukir Orang Maori jadi kebanggaan dan dipertahankan sehingga sekarang.

  • Foto

    SEMANGAT...pahlawan muda Maori menyambut ketibaan dengan pertunjukan kebudayaan yang unik.

  • Foto

    AWET...burung kiwi yang diawetkan bagi membolehkan pelancong melihatnya.

  • Foto

    BEGINI...pemilik Omania Farm menunjukkan cara biri-biri dicukur untuk mendapatkan bulu.

Rotorua sendiri berasal daripada perkataan Maori - Roto bermakna tasik dan Rua bermakna dua. Ini bermakna Rotorua bermaksud Dua Tasik.

Selain itu, kawasan ini dipenuhi kawasan berbukit yang luas. Jangan terperanjat, banyak binatang ternakan termasuk lembu dan biri-biri di sini yang diternak untuk eksport.Memang tidak dinafikan, ternakan lembu dan biri-biri lebih empat kali ganda jumlah penduduk New Zealand. Cuba bayangkan, ternakan melebihi penduduk. Namun, itulah hakikatnya di negara burung kiwi dan buah kiwi itu.Walaupun cuaca sejuk diikuti hujan renyai, ia tidak membataskan kunjungan melawat Omania Farm. Di sini, ternakan lembu dan biri-biri dijalankan secara meluas. Untuk naik ke puncak gunung sejauh enam kilometer, pacuan empat roda digunakan untuk meninjau seluruh kawasan berkenaan. Ini berikutan jalan yang berbukit, berlumpur dan cerun menyebabkan terasa takut.

Dari sini, kami dapat melihat ternakan biri-biri dan lembu diternak dengan bebas. Yang menakjubkan, pemilik Omania Farm tidak perlu mengambil pengawal keselamatan untuk menjaga ternakan mereka bagi mengelakkan ia dicuri atau sebaliknya.

Mereka memasang pagar elektrik sepanjang ladang yang beribu-ribu hektar itu.
Selain itu, anjing yang dilatih khas turut digunakan untuk menjaga ternakan.

Selain melihat ternakan, kami berpeluang melihat bagaimana bulu biri-biri dicukur untuk dijadikan permaidani. Pekerjaan dilakukan dengan pantas dan untuk setiap biri-biri yang bulunya diketam, satu kilogram bulu diperoleh.

Biasanya, seekor biri-biri dicukur dua kali setahun dan hitung panjang bulu biri-biri dicukur ialah dua kilogram setiap ekor. Setiap kilogram bulu biri-biri dijual NZ$6 (RM18).

Kami juga sempat melawat Rainbow Springs Park yang dibangunkan kerajaan New Zealand sejak 1995 untuk menyelidik dan memulihara burung kiwi daripada kepupusan. Ada pelbagai spesies burung dan ikan air tawar jenis ‘trout’ di kawasan ini, termasuk rainbow trout dan brown trout yang memang terkenal.

Kawasan seluas 22 ekar itu yang paling unik berikutan banyak perkara menarik boleh dilakukan di situ. Di situ kami berpeluang mengenali tumbuhan kayu rosewood dan daun paku-pakis.

Kayu berkenaan unik kerana walaupun keras, permukaannya lembut seperti span.
Kayu ini digunakan untuk membuat ukiran tradisional Maori.

Daun paku-pakis ini juga menjadi logo baju pemain ragbi All Blacks dan pemain bola sepak All Whites. Namun, daun yang terkenal ialah silver fern.

Kami juga sempat ke Perkampungan Maori untuk menyaksikan aktiviti, adat resam, kebudayaan serta cara hidup seharian mereka.

Ketibaan kami disambut dengan ungkapan ‘Kia Ora’ (hello) dan ‘Haere Ma’ (welcome). Mula-mula kami terasa cemas juga, sama ada kedatangan kami dialu-alukan atau tidak.

Tiga pahlawan mereka dengan muka yang bengis datang menyambut kami dengan persembahan adat. Kami terpaksa melakukan ‘laga hidung’ dengan pahlawan kecil ini sebagai adat mereka yang menunjukkan kami datang dengan niat baik. Setiap lukisan pada muka pahlawan berkenaan membawa pelbagai maksud.

Maori ialah penduduk asli New Zealand yang juga kumpulan etnik kedua terbesar di negara burung kiwi itu. Mereka mengembangkan budaya unik dengan bahasa sendiri, kraf dan seni persembahan. Sehingga tahun lalu, ada kira-kira 660,000 Maori di New Zealand iaitu 15 peratus daripada penduduk negara itu.

Kami juga sempat melawat Agroventures dan tidak melepaskan peluang menaiki permainan dikenali sebagai ‘swoop’ setinggi 40 meter. Walaupun rasa gementar, semua tak mahu ketinggalan mencubanya.

Kami juga sempat menaiki kapal persiaran mengelilingi Tasik Rotoiti selama dua jam. Sambil menjamu makanan yang disediakan di atas kapal, kami menikmati pemandangan sekitar tasik.

Lake Rotoiti ialah tasik di Wilayah Tasman New Zealand yang juga tasik gunung yang besar di dalam sempadan Nelson Lakes National Park.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: