|
PELAKON Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2011, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, semakin berkilau kerdipan bintangnya.
Mungkin terang yang menyuluh langit seni bercahaya dek bakatnya menerusi drama, telefilem mahupun pentas teater yang diceburinya.
Baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), rezaeki Elfira, 17, makin lebat. Dihujani pelbagai tawaran berlakon, salah satu daripadanya dapat bergandingan dengan aktor tanah seberang, Randy Pangalila.
Mengandaikan Randy sekadar sahabat yang selesa untuk berbicara atau mengandam jenaka, menurut Elfira dia seorang yang peramah dan sering merendah diri.
“Pertama kali dipertemukan dengan Randy, saya gugup, maklum saja dia sudah terkenal di Indonesia dan saya masih menapak lagi dalam dunia lakonan.
“Tapi dia mudah mesra dengan orang dan hubungan kami sama seperti kawan-kawan lelaki saya yang lain,” sekeras-keras Elfira menafikan dakwaan bahawa kedua-duanya kini berpacaran.
Tambah Elfira, Randy merupakan seorang yang gemar bercerita serta selalu melontarkan pandangan yang bernas mengenai sesuatu isu.
Ditanya juga apa tujuan Elfira sering berhubung dengan Randy melalui Black Berry Messenger (BBM) walaupun jarak yang memisahkan kedua-dua anak muda itu makin jauh? Adakah ia suatu hubungan jarak jauh?
Jawab Elfira: “Kami selalu BBM tapi hanya borak-borak kosong. Tambahan kami merupakan penyokong kuat pasukan bola sepak masing-masing, dia Arsenal dan saya Manchester United.”
Itulah butir bicara yang disusun Elfira. Bagaimanapun, ketika Kosmo! dipertemukan dengan barisan pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang di Alexis, The Garden Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, Randy tidak dapat menghadirkan diri berikutan jadual lakonannya yang terbatas di Indonesia.
Kurang ilmu
Sementara itu, Elfira yang membintangi drama Qalesya turut diminta mengulas mengenai kata-kata nakal orang sekeliling yang menyifatkan dia kurang berilmu sewaktu mengacarakan sebuah rancangan TV berbentuk pelancongan baru-baru ini.
Sedikit terkejut dan terkilan dengan dakwaan itu, katanya, dia hanya mengikut perancangan awal menerusi perbincangan bersama tenaga produksi rancangan itu.
“Rancangan itu tiada skrip dan semua yang dirakam berlaku secara spontan, setiap yang keluar dari mulut saya mengikut setiap perbincangan dengan pihak produksi yang sememangnya mahu saya ‘berlakon’ dalam rancangan itu,” tuturnya menjawab dakwaan yang dilemparkan itu.
Tambah Elfira, dia bukan seorang selebriti yang langsung tidak tahu menahu mengenai tempat-tempat bersejarah di sesuatu kawasan biarpun baru menghabiskan zaman persekolahan.
“Saya tidak kisah dengan apa yang orang ingin cakap, kalau orang yang selalu mengacarakan pelbagai rancangan mereka akan faham kenapa saya berbuat begitu,” kata anak kedua daripada empat beradik itu lagi.
Bagi Elfira, ilmu itu luas untuk diterokai. Prinsipnya belajar selagi terdaya kerana sampai ke mati pun ilmu itu tidak akan habis.
|
|
Bercerita mengenai watak yang digalasnya dalam telefilem arahan Michael Ang, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang iaitu Alya, tawaran watak yang lebih matang selari dengan usianya itu merupakan kali pertama diberikan kepadanya.
“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai watak yang dibawa dan memang saya akui watak yang diberikan kali ini lebih berat daripada karakter yang sering saya mainkan,” katanya yang juga selesa berlakon di bawah arahan Michael.
Anak penjual ayam
Biar Mimpi Sampai Ke Bintang mengisahkan Alya, seorang gadis yang menghabiskan masanya membantu ibunya, Peah (lakonan Sharifah Shahora) menjual ayam di pasar borong.
Sementara itu, Andy (Randy) pula adalah seorang remaja yang berasal dari Indonesia, anak
jutawan Hardiyanto Sasputra. Kehidupan Andy dirasakan terlalu bosan dengan kehadiran ibu tirinya bernama Jenny, dan dikelilingi rakan-rakan yang hanya berkawan
dengannya kerana dia anak jutawan.
Andy sering menghilangkan kebosanannya dengan melawat Mak Yam (Didie Alias), bekas orang gajinya yang telah berhenti kerja.
Kehidupan Alya dan Andy mula berwarna apabila masing-masing menyorok identiti mereka dalam laman sosial Facebook di mana Alya menyamar sebagai orang kaya, manakala Andy menyamar sebagai orang miskin.
Pertemuan kali pertama mereka benar-benar menjadikan pertemuan itu sebagai jatuh cinta pandangan pertama. Bermula saat itu, berbagai-bagai perkara suka duka berlaku dalam hidup mereka. Mereka semakin rapat dan akhirnya tidak mampu menafikan yang masing-masing benar-benar serasi antara satu sama lain.
Turut menjayakan Mimpi Sampai Ke Bintang ialah adik lelaki Elfira iaitu Ezzrin Loy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: