Thursday, December 22, 2011

Pada Zaman Dahulu di Indonesia


SIRI Pada Zaman Dahulu merupakan produksi animasi kedua terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang sebelum ini menampilkan siri animasi popular, Upin & Ipin.


GAGAL diterbitkan dalam bentuk dua dimensi (2D), tetapi akhirnya kini ia berjaya direalisasikan dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Itu takdir perjalanan sebelum kelahiran Pada Zaman Dahulu, siri animasi kedua keluaran Les' Copaque Production Sdn. Bhd. selepas kemunculan produk sulungnya Upin & Ipin yang meraih kejayaan mega.

Mmenurut Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi, Pada Zaman Dahulu pernah mengalami kegagalan ketika percubaan pertama menjadikan siri itu dalam bentuk 2D tahun lalu.

"Kos mengeluarkan produk animasi sangat tinggi. Pada Zaman Dahulu sudah disiapkan setahun lalu, tapi oleh kerana episod pertamanya menerusi teknik 2D sangat menghampakan, seluruh krew terpaksa dibubarkan," jelasnya.

Namun, berbekalkan kepakaran 3D tempatan, Pada Zaman Dahulu kembali dihidupkan dengan mengutamakan variasi warna yang menarik dengan teknik lukisan warna air.

Kelainan siri animasi ini lebih kepada kisah-kisah haiwan yang pernah diceritakan oleh nenek moyang pada zaman dahulu yang memberikan pengajaran yang bermanfaat.

"Memandangkan ibu bapa sekarang jarang mempunyai masa untuk bercerita mengenai kisah dongeng haiwan kepada anak-anak dan golongan cilik sekarang lebih gemar menghabiskan masa bermain permainan video, maka siri animasi ini adalah langkah penyelesaian terbaik," ujarnya lagi.

Siri animasi Pada Zaman Dahulu telah memulakan tayangan di saluran TV AlHijrah selain memasuki pasaran Indonesia iaitu disiarkan di stesen MNCTV.

Bersiaran sebanyak 12 episod, Pada Zaman Dahulu kini menemui penonton cilik di Zon Aulad saluran TV AlHijrah setiap hari Sabtu pukul 8.30 malam.

Siaran ulangan pula akan disiarkan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada pukul 5.50 petang.

Pada Zaman Dahulu mengisahkan gelagat Aris dan adiknya Ara yang cuba menyesuaikan diri di kampung berikutan kedua-dua orang tua mereka bertugas di luar negara. Aris dan Ara tinggal bersama datuk mereka, Aki.

Sebagai seorang datuk yang mengasihi cucu-cucunya, Aki sedaya upaya cuba menghiburkan dan mendekati mereka dengan teknik penceritaan yang menarik serta lucu.

Di sinilah pelbagai kisah Sang Kancil dan rakan-rakannya seperti Sang Harimau, Sang Tupai, Sang Kerbau, Sang Gajah dan Sang Monyet dipersembahkan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda, siri animasi Pada Zaman Dahulu berpotensi untuk mencipta nama sebagaimana animasi tempatan popular, Upin & Ipin.

"Kita sudah membuat penilaian, siri animasi yang mengguna pakai teknik HD (High Digital) ini mempunyai kualiti yang baik sesuai dengan platform penyiaran TV AlHijrah," katanya pada sidang akhbar pelancaran siri animasi Pada Zaman Dahulu di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, siri animasi yang ditayangkan dalam slot baharu stesen televisyen AlHijrah, iaitu Zon Aulad, sesuai dengan sasaran golongan kanak-kanak.

"Zon Aulad antara lainnya mempunyai tarikan warna-warni dan ada mesej yang membina sahsiah anak-anak daripada prapersekolahan hingga peringkat remaja," ujarnya yang turut memberitahu TV AlHijrah kini sedang dalam proses menambah kandungan siaran untuk golongan kanak-kanak menjelang tahun depan.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: