Thursday, December 22, 2011

Ujian saringan kanser payu dara


Ujian mamogram boleh mengesan kanser payu dara. - Gambar hiasan


PERBADANAN Inisiatif Penyelidikan Kanser (CARIF) dan Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC) , baru-baru ini telah melancarkan program Lebih Dari Hanya Mammo yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai ujian saringan mamogram bagi kanser payu dara.

Menerusi kerjasama SDMC dan dijana dengan dana yang dikumpul dari pertandingan golf LPGA Sime Darby, program itu bertujuan mengkaji bagaimana gen, cara hidup, serta kepadatan mamografi (mammographic density) memberi kesan terhadap risiko kanser payu dara.

Bertujuan untuk menyampaikan mesej bahawa pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa, program itu menyasarkan penglibatan 1,000 wanita Malaysia dengan menawarkan ujian mamogram pada kadar subsidi RM50.

"Sejak dilancarkan pada 11 Oktober 2011 lebih 300 wanita telah mengambil bahagian. Kami berharap untuk mencapai sasaran 1,000 wanita pada pertengahan 2012," ujar Ketua Eksekutif CARIF, Prof. Dr. Teo Soo-Hwang yang juga penyelidik utama program tersebut.

"Kanser payu dara adalah kanser yang paling kerap di Malaysia dan juga penyebab utama kematian wanita di seluruh dunia. Apa yang bagusnya, sekarang ini kita mengetahui mengenai kanser payu dara lebih baik daripada terdahulu.

"Pada masa sekarang, lebih sembilan dari sepuluh wanita (yang menghidap kanser payu dara) boleh bertahan lebih dari lima tahun dan kunci bagi kelangsungan hidup ini adalah pengesanan awal dan juga rawatan," tambahnya.

Untuk menyertai program itu, katanya, peserta mestilah wanita rakyat Malaysia berumur 40 dan ke atas, tidak pernah menghidap kanser payu dara dan juga tidak pernah menjalani ujian mamogram dalam masa 12 bulan yang lepas.

Bagaimanapun, jika individu itu berumur kurang dari 40 tahun dan mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser payu dara, peserta patut berbicara dengan doktor mengenai faedah dan limitasi ujian mamogram.

Bagi tujuan kajian, peserta akan diminta mendermakan sedikit darah dan menjawab soalan-soalan ringkas berkaitan kanser payu dara.

Jika berminat, pendaftaran boleh dilakukan di Pusat Penjagaan Payudara, Tingkat Satu, Pusat Pesakit Luar, Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dari hari Isnin hingga Jumaat atau di hubungi talian +603-5639 1340. Anda juga boleh melayari laman web www.carif.com.my untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: