borang-BR1M

KLUANG - Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kluang mengambil pendekatan menjelajah ke kampung sekitar daerah ini untuk mengedarkan borang Ban­tuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mulai semalam.

Pegawai Penafsirannya, Mohd Azrin Ayub berkata, pendekatan itu bertujuan memudahkan golongan warga tua dan mereka yang tidak berkesempatan untuk mengisi borang berkenaan seterusnya boleh menyerahkan terus kepada kakitangan bertugas pada hari yang sama.

Menurutnya, seramai empat kakitangan dari jabatan itu diarahkan Pengarah LHDN Kluang, Fauzi Saad untuk bergerak mendekati golongan sasar supaya tiada yang terlepas daripada menerima bantuan tersebut.

“Dengan pelancaran pengagihan bantuan menerusi pendekatan ini, pihak LHDN mendapat bantuan daripada tenaga kerja Pusat Khidmat Masyarakat Dun Paloh bagi kerja menyelaras untuk membantu pemohon mengisi borang yang diedarkan sebelum diserahkan kepada pihak jabatan untuk pengesahan penerimaan.

“Kita datang seawal jam 8.30 pagi seperti yang dijanjikan sebelum membuat persiapan supaya urusan pengedaran borang, mengisi biodata seterusnya menyerahkan kepada pihak kami semula untuk semakan dan pengesahan penerimaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azrin berkata, pihak LHDN menganggarkan lebih kurang 2,000 borang dapat diagihkan kepada penduduk dan diterima semula penduduk di sekitar pekan Paloh dalam masa sehari program tersebut diadakan.

“Kita berharap agar penduduk di sekitar pekan Paloh ini yang mana tidak dapat berjumpa dengan pihak kami supaya dapat datang sendiri ke pejabat LHDN di Wisma Bunga bagi mendapatkan borang BR1M ini.

“Dokumen yang diperlukan ialah salinan kad pengenalan pemohon, salinan slip gaji (jika ada) dan nombor kad pengenalan ahli keluarga di bawah tanggungan pemohon sahaja”, katanya.

Sementara itu, Petugas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Paloh, Aliza Jamaluddin berkata, program khidmat masyarakat itu khas untuk penduduk kawasan berkenaan supaya mereka tidak terlepas menerimanya.

“Semoga dengan adanya program ini maka tidak ada lagi penduduk yang tidak dapat mengisi borang ini namun sekiranya masih ada yang tidak dapat, mereka juga boleh datang ke Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Paloh bagi mendapatkan borang dan mengisi biodata
sebelum kami akan membantu menyerahkannya kepada pihak LHDN”, katanya.