Monday, December 5, 2011

As minat sukan digemari kaum lelaki




BUKAN mudah untuk seseorang gadis bergiat aktif dalam aktiviti atau sukan yang dimonopoli golongan lelaki, apatah lagi memerlukan keupayaan atau kemahiran tinggi.

Namun bagi Nor Asmah Md. Noor atau mesra dipanggil As, apa sahaja dilakukan golongan lelaki, tidak mustahil untuk disertai olehnya.

Malah, gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Johor itu tidak meminati sukan yang banyak dipelopori wanita seperti bola jaring dan sebagainya.

"Saya memang meminati sukan kaum lelaki termasuk bola sepak dan futsal, malah kalau ada yang mengajak saya bermain pun, saya akan mengambil bahagian," katanya yang kini sudah tiga tahun menetap di Perlis.

Bagaimanapun, As yang merupakan kakitangan di sebuah syarikat di Pengkalan Assam, Kangar, Perlis tetap memelihara adab dan kesopanan seorang gadis Timur.

"Tidak semestinya seorang gadis yang menceburi aktiviti dan sukan lelaki akan bertukar statusnya disebabkan bidang yang diceburinya itu.

"Sebenarnya, saya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan, malah dalam waktu tertentu saya juga memasak sebagaimana menjadi amalan gadis di negara ini," tambahnya.

Selain itu, kata As, dia gemar menghasilkan reka bentuk grafik menerusi komputer bagi mengisi masa lapang.

"Antara yang saya buat ialah membuat reka bentuk kad ucapan dan sebagainya sebagai bahan koleksi.

"Begitu juga menonton filem, ia turut menjadi kegemaran saya pada waktu masa lapang," tambahnya.

Menurut As, walaupun minatnya mungkin berbeza dengan gadis-gadis lain, dia mempunyai kehidupan seperti biasa dengan mempunyai matlamat dan cita-cita untuk dicapai pada masa akan datang.

"Falsafah saya mudah, jika lelaki boleh buat kenapa tidak dengan gadis seperti saya dan ia menjadi dorongan untuk saya terus memburu cita-cita dalam bidang yang diceburi," katanya.

As menjelaskan, dia berazam membuka sebuah restoran atau kafe pada masa hadapan selaras dengan cita-citanya untuk menjadi seorang usahawan atau ahli perniagaan.

"Sebagai seorang rakyat negara ini, saya perlu bijak untuk mengatur kehidupan saya dan tidak semestinya hobi atau minat bakal menghalang hasrat yang disimpan sekian lama.

"Buat masa ini, saya sedang mengumpul modal sebagai persediaan untuk membuka perniagaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: