Wednesday, December 14, 2011

Berguru dengan Zang Toi


Serba boleh, Ariff sendiri yang memotong, menjahit, menambah manik hingga terhasil satu rekaan yang memenuhi kehendak pelanggan.


MENAMAKAN label pakaiannya sebagai Ariff Shukor, anak muda berumur 23 tahun ini mahu menghasilkan rekaan fesyen pakaian yang cantik dan mampu dipakai oleh semua golongan masyarakat dan peminat fesyen.

Pengalaman dan ilmu yang ditimba semasa menjalani latihan praktikal di Butik Zang Toi selama dua tahun, kini diadaptasi pada rekaannya.

''Saya banyak belajar daripada Zang Toi dari segi potongan baju yang mengutamakan potongan klasik kerana potongan seperti ini mudah diterima oleh semua orang,'' demikian kata Muhammad Ariff Shukor yang ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Justeru, menurut Ariff, pelanggan Zang Toi yang pernah membeli baju pereka tersebut 10 tahun dahulu masih lagi memakai baju tersebut kerana potongan empire dan princess yang menjadi potongan kepada baju-baju Zang Toi tidak tenggelam dek masa.

''Fesyen akan berbalik semula. Kita harus menyayangi baju-baju lama kerana tiba masanya baju lama ini akan dipakai semula,'' tambahnya.

Seperti Zang Toi, kata Ariff, dia lebih terdorong kepada menghasilkan rekaan yang ringkas, tidak terlalu berat dan tidak menggunakan terlalu banyak manik yang dijahit pada baju.

Tidak gemar kepada rekaan yang pelik kerana dianggap tidak relevan, jelas Ariff, ia hanya pembaziran sumber.

Sebaliknya tumpuan lebih diberikan kepada potongan baju yang tidak terlalu ketat atau longgar dan jenis kain yang digunakan.

''Apa yang penting ialah baju Ariff Shukor mestilah selesa dan mampu dimiliki oleh setiap orang yang ingin memakai label ini,'' ujar pemegang Diploma Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) ini.

Ariff yang banyak menerima tempahan daripada pelanggan untuk pakaian pejabat dan kasual ini menambah, dia lebih suka memilih jenis kain yang elegan untuk labelnya seperti taffeta, sutera Shantung, sutera dan kapas voile kerana keselesaan kain ini.

Selain itu, dia turut menerima banyak tempahan untuk menyiapkan baju pengantin dan makan malam serta sudah memulakan bisnes pakej pengantin yang meliputi baju, solekan, pelamin, deko, hantaran dan sebagainya.

Mengenai arus fesyen 2012, menurut Ariff, dia berasa lebih selamat jika tidak memilih potongan yang seksi dan melekat di badan kerana potongan sebegini hanya dipakai oleh segelintir orang sahaja.

Daripada segi pilihan warna pula, kata Ariff, adalah lebih relevan jika seseorang itu memilih warna yang selamat seperti hitam, warna tanah, biru, ungu dan ungu lembut kerana selamat dipakai pada sebarang acara dan majlis.

Ariff yang mengagumi pereka-pereka terkenal tempatan seperti Datuk Radzwan Radzwill, Carven Ong, Rizalman Ibrahim, Datuk Bernard Chandran dan Zang Toi ini menyimpan hasrat agar labelnya bukan hanya pada pakaian tetapi juga pada gaya hidup.

''Saya ingin menjadi seperti Ralph Lauren yang bukan hanya sebagai seorang pereka fesyen berjaya namun turut mengeluarkan produk-produk untuk gaya hidup seperti minyak wangi dan sebagainya,'' ujar Ariff yang menganggap tajaan baju ceongsam untuk Datuk Michelle Yeoh paling berjaya dan dibeli oleh aktres tersebut.

Kepada anda yang ingin menempah baju hasil rekaan Ariff boleh menghubunginya di 012-9141259.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: