Wednesday, December 14, 2011

Annur Najwa miliki akademi kecantikan


Annur Najwa Azizan menubuhkan Akademi Red Golw kerana minat dalam bidang kecantikan.


SATU ketika dahulu, Annur Najwa Azizan 30 memiliki kerjaya tetap yang memberi bukan setakat kedudukan selesa bahkan pendapatan lumayan setiap bulan.

Tetapi dek kerana minat yang mendalam dalam bidang kecantikan telah mendorongnya untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang baru tersebut.

Kesungguhan wanita yang lebih mesra dengan panggilan Najwa ini untuk meneruskan kerjaya baru dalam bidang perkhidmatan kecantikan, akhirnya membawa ganjaran yang dia sendiri tidak terduga.

Sejak memulakan perniagaan perkhidmatan akademi kecantikan yang diberi nama Akademi RedGlow, ia telah berkembang hingga berjaya mendapat sijil pentauliahan dari Kementerian Sumber Manusia.

"Saya menuntut dalam bidang perakaunan tetapi amat meminati dunia kecantikan. Saya mula menjinakkan diri dalam dunia kecantikan seawal usia 18 tahun lagi.

"Pada mulanya, saya hanya seronok-seronok menyolek rakan-rakan yang menghadiri majlis makan malam. Dari situ saya mula menyedari bakat terpendam apabila rakan yang saya rias mendapat anugerah di majlis pra-graduan," ujarnya memula bicara.

Menurut Najwa, keyakinan untuk mula menyolek makin bertambah apabila ada rakan yang mempercayai kebolehannya hingga sanggup membayar untuk dirias bagi majlis makan malam dan perkahwinan.

Pada usia semuda 23 tahun, dia memberanikan diri untuk menceburi dunia perniagaan biarpun menyedari cabaran berliku yang bakal ditempuhi.

Najwa menubuhkan apa yang dipanggil sebagai Akademi RedGlow, yang mengendali dan mengurus kursus dalam bidang kecantikan, solekan dan personaliti.

Setakat ini dia telah melatih lebih 500 orang profesional dari badan kerajaan dan badan bukan kerajaan serta persendirian.

"Tidak dinafikan, sekarang ini pun saya masih lagi di tahap belajar dan sering mendapat tunjuk ajar dari mereka yang lebih berpengalaman.

"Paling penting, walau apa pun bidang yang kita ceburi, ilmu adalah tonggak utama untuk kita berjaya. Saya tidak pernah berhenti mengutip ilmu dan ia tidak akan terhenti sampai bila-bila.

"Namun guru yang paling berharga adalah pengalaman, kerana ia tidak dijual di mana-mana," jelas Najwa.

Bercerita lanjut mengenai Akademi RedGlow, katanya, ia ditubuhkan pada tahun 2006 dari sehelai kertas sehingga menjadi modul pendidikan kecantikan yang lengkap.

Menariknya, semua hasil kajian dan pengajian tanpa sempadan Najwa ekoran minat yang mendalam di bidang itu.

Katanya, setiap pelanggan mahupun peserta yang mengikuti program kursus atau bengkel bersama RedGlow akan diberi sentuhan peribadi.

"Kami berkongsi ilmu dan pengetahuan tanpa sempadan. Alhamdulillah, kini Akademi RedGlow semakin hari semakin berkembang.

"Saya juga berhasrat untuk mengorak langkah setapak lagi hingga ke peringkat antarabangsa sekali gus mengetengahkan produk kecantikan keluaran RedGlow sendiri yang sebelum ini hanya digunakan untuk kursus dalam akademi sahaja.

"Untuk tahun 2012, RedGlow juga akan memasarkan bedak asas dan ia akan dikembangkan ke seluruh rangkaian alat solek yang lain.

"Kami juga amat yakin dengan kebolehan RedGlow kerana kami merupakan satu-satunya akademi yang bertauliah milik bumiputera yang mempunyai modul-model kursus dalaman dalam bidang solekan. Selain itu, kami juga turut melantik beberapa jurusolek artis profesional untuk menjadi panel kami," kata Najwa.

Selain Akademi RedGlow, Najwa juga memiliki perniagaan lain dalam bidang pembekalan cenderahati korporat .

Kini dia juga sedang mengusahakan sebuah restoran sederhana ke mewah yang bercirikan masakan dari Terengganu.

"Saya sangat komited terhadap kerjaya dan tidak pernah puas. Walaupun terdapat banyak halangan yang datang, namun berkat kesabaran serta kebolehan yang saya ada, saya mampu mengatasinya. Hari ini, saya mampu tersenyum bangga melihat Akademi RedGlow mula dikenali dan ia adalah milik saya," jelas Najwa.

"Bukan terhenti setakat itu sahaja, saya juga mengendalikan bengkel kuasa wanita bersama rakan perniagaan saya iaitu Hismazaitul Azmy ," ujar wanita hebat ini lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: