Wednesday, December 14, 2011

Unimap terokai teknologi UAV


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Unimap dan UST yang diwakili oleh Kamarudin Hussin (duduk kiri) dan Mohd. Radzi Ahmad Tajuddin di Langkawi, baru-baru ini.


LANGKAWI 13 Dis. - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) membuka lembaran baru dalam teknologi pesawat udara tanpa pemandu (UAV) apabila menjalin kerjasama dengan Unmanned Systems Technology Sdn. Bhd. (UST) ke arah mengkomersialkan pembangunan jentera multirotor ciptaannya pada masa hadapan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin memberitahu, kerjasama dengan anak syarikat Composite Technology Research (M) Sdn. Bhd. (CTRM) itu dibuat selepas kejayaan dicatatkan oleh Unimap menerusi jentera multirotor yang menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, multirotor Unimap dibina di kluster Autonomous & Machine Vision pada 2009 di bawah Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Hazry Desa.

"Selepas dua tahun, prototaip jentera ini menghasilkan beberapa aplikasi yang digabungkan dengannya seperti kamera untuk pengambilan gambar dari udara dan penyemburan khususnya bagi kegunaan pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pihak Unimap dengan UST yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Radzi Ahmad Tajuddin di sini baru-baru ini.

Berkenan menyaksikan upacara tersebut Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah yang juga Pro Canselor Unimap.

Turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan CTRM, Datuk Wan Abdul Halim Abd. Majid dan Hazry.

Menurut Kamaruddin, multirotor dihasilkan daripada bahan kitar semula itu memenangi anugerah penciptaan terbaik antarabangsa di Pameran Reka Cipta Antarabangsa 'INOVA' di Zagreb, Croatia.

"Multirotor Unimap juga memenangi anugerah khas juri di pertandingan sama, malah mendapat permintaan tinggi daripada beberapa firma antarabangsa," tambah beliau.

Beliau menjelaskan, menerusi kerjasama tersebut, pihaknya akan mengembangkan teknologi UAV supaya ia lebih berkualiti dan mampu menghadapi apa juga rintangan.

"Ia (multirotor) akan dipertingkatkan supaya mencapai tahap kualiti yang cukup baik sebelum dikomersialkan. Produk ini mendapat perhatian, jadi menerusi MoU ini, Unimap sudah bersedia untuk menyediakannya dalam skala lebih besar mengikut permintaan pada masa hadapan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: