Anugerah Industri Muzik (AIM)

Anugerah Industri Muzik (AIM), merupakan pentas utama bagi memberi pengiktirafan terhadap bakat seni muzik tanah air, sejak tahun 1994.

Dianjurkan, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (AIMM) dengan sokongan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM, dilihat sebagai acara berprestij negara.
Bagaimanapun, isu penarikan trofi kemenangan lagu Penakut nyanyian Yuna sebagai Lagu Terbaik menerusi AIM18, baru-baru ini, menjejaskan kredibiliti AIM.
Kesilapan teknikal yang berpunca daripada syarikat audit bertaraf antarabangsa yang dilantik Ernst & Young itu, boleh dikatakan agak memalukan kerana tidak ada lagi sejarah pemulangan trofi berlaku dalam negara.
Pun begitu, ia tidak melemahkan semangat pihak penganjur untuk memperbaiki kesilapan dan meningkatkan mutu penganjuran AIM, pada masa akan datang.
Menerusi satu forum yang berlangsung di Hotel Rolaye Chulan, kelmarin, Jawatankuasa Pengelola AIM18, Rosmin Hashim dan Adrian Lim serta beberapa penggiat seni tanah air, berbincang untuk memantapkan lagi AIM bagi memartabatkan industri muzik negara.
Selain memastikan penjurian lebih telus, perbincangan itu turut menyentuh isu kriteria dan syarat pencalonan terhadap karya yang melibatkan bukan warganegara.
Seperti kita sedia maklum, sebelum ini, baik AIM, mahupun, Festival Filem Malaysia (FFM), meletakkan kewarganegaraan sebagai syarat utama terhadap karya yang bertanding.
Dengan erti kata lain, mereka yang bukan warganegara tidak layak bertanding. Dalam perihal AIM, sekiranya album itu dinyanyikan artis tempatan, namun dicipta komposer luar (bukan warganegara), ia tidak layak bertanding.
Hal yang sama berlaku ke atas penyanyi tempatan seperti Zee Avi dan kumpulan Hujan yang tidak tercalon dalam mana-mana kategori AIM18.
Saban tahun, AIM akan berdepan dengan isu sama sekiranya kriteria dan syarat pencalonan tidak berubah. Maka tidak hairan, kredibiliti pihak penganjur dalam memberi pengiktirafan kepada industri muzik tanah air, semakin dipertikai.