TANJUNG GEMOK – Peniaga kedai runcit mendakwa bekalan minyak masak di sekitar Tanjung Gemok, di sini, masih mencukupi bagi menampung keperluan pengguna meskipun terdapat beberapa jenis minyak masak botol mengalami kekurangan bekalan sejak awal November lepas.
Seorang peniaga kedai runcit, Heng Sue Khe, 50, berkata, beberapa jenis minyak masak botol seperti Vesawit, Seri Murni dan Cap Buruh masing-masing mempunyai bekalan lima kotak sahaja yang mengandungi empat botol minyak masak.
Menurutnya, sebelum ini, mereka menerima antara 20 hingga 30 kotak bekalan minyak masak botol yang dihantar pemborong ke kedainya, namun bekalan keperluan itu semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.
“Bekalan minyak masak di sini masih mencukupi walaupun jumlah bekalan yang dihantar ke kedai kami berkurangan namun tiada rungutan daripada pengguna yang menyatakan minyak masak sukar diperoleh,” katanya.
Bagaimanapun, Sue Khe berkata, bagi minyak masak botol jenis Saji, pengguna boleh memperoleh bekalan itu dengan mudah memandangkan bekalannya sentiasa mencukupi kerana ia dihantar dalam jumlah yang banyak.
Menurutnya, bekalan minyak masak dijangka tidak berdepan masalah serius memandangkan pengguna mempunyai pilihan lain iaitu membeli minyak masak yang dijual dalam paket.
“Pengguna dinasihatkan supaya jangan panik dengan situasi ini kerana saya percaya bahawa bekalan minyak masak tidak berdepan krisis yang teruk hingga menyebabkan bekalannya terputus dan sukar didapati,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Sunita Mohidin, 36, berkata, penggunaan jumlah bekalan minyak masak mungkin meningkat sepanjang cuti persekolahan ini kerana pelbagai acara akan diadakan termasuk majlis perkahwinan.
“Setiap hujung tahun kekurangan bekalan minyak masak sentiasa jadi isu dan sebagai pengguna saya harap masalah kekurangan bekalan minyak masak tidak serius dan boleh diatasi kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: