Sunday, December 18, 2011

Bersantai di tepian sungai


MENYUSURI Sungai Perak sambil menikmati keindahan kampung.


MELIHAT air Sungai Perak yang mengalir perlahan mampu memberi ketenangan. Apatah lagi, di tebing sungai terpanjang di Negeri Perak Darul Ridzuan itu, berdiri teguh rumah-rumah tradisional penduduk kampung Melayu.

Dalam pada itu, deretan pepohon kelapa yang sesekali pelepahnya meliuk lintuk ditiup angin menjadi antara landskap yang menghiasi persekitaran di kawasan peranginan ini.

Tatkala senja berlabuh, suasana sunyi yang menjadi ciri-ciri kehidupan di sebuah perkampungan tradisional mulai terasa seawal pukul 9 malam, sekali gus memberi ketenangan kepada tetamu resort.

Itulah antara gambaran yang boleh kita saksikan jika menginap di Pasir Salak Resort. Terletak dalam suasana perkampungan tradisional Melayu Perak, resort itu saban minggu menerima kunjungan mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota.

Bukan itu sahaja, ia turut menerima tetamu daripada peserta kursus atau seminar anjuran agensi kerajaan atau syarikat swasta.

Pengurus Pasir Salak Resort, Shahril Azmil, pihaknya kini lebih banyak menerima peserta kursus mahupun seminar yang biasanya memilih pakej dua hari satu malam.

"Terdapat tiga pakej seminar yang ditawarkan iaitu Pakej A, Pakej B dan Pakej C. Yang membezakan harga adalah berapa kali peserta makan dan minum serta berapa banyak kemudahan yang digunakan mereka," katanya kepada S2.

Pihak penganjur kursus atau seminar boleh memilih sama ada mengadakannya di Dewan Sultan Abdullah yang boleh memuatkan 220 peserta atau bilik mesyuarat Datuk Sago (80 peserta) atau bilik mesyuarat Datuk Maharaja Lela (30 peserta).

Selain menawarkan pakej seminar, Pasir Salak Resort juga menjadi pilihan majikan untuk mengadakan hari keluarga di situ.

Menurutnya, pihaknya menawarkan pakej hari keluarga untuk dua hari satu malam atau tiga hari dua malam.

"Harga bagi setiap pakej dibezakan oleh berapa kali makan sehari dan jenis lawatan yang diadakan di sekitar kawasan resort ini," ujarnya.

Menurutnya, jika pakej tiga hari dua malam menjadi pilihan, maka tetamu resort akan dibawa melawat ke pusat kraftangan labu sayung, pusat pemeliharaan tuntung di Bota Kanan, Kellie's Castle di Batu Gajah dan tiket masuk ke Kompleks Bersejarah Pasir Salak.

Shahril berkata, untuk memenuhi keperluan percutian keluarga yang datang bersama anak-anak, resort tersebut juga menyediakan kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak.

Lokasi kolam renang di tebing sungai semestinya memberikan satu kelainan kepada pengunjung kerana sambil mandi-manda, mereka boleh menjamu mata melihat pemandangan sungai yang menenangkan.

Mengulas lanjut, katanya kemudahan penginapan di Pasir Salak Resort terdiri daripada 50 buah chalet. Terdapat juga sebuah restoran terapung yang menyajikan masakan tempatan dan hidangan makanan laut.

Bagi yang gemar karaoke, bolehlah 'berdendang' dari pukul 5 petang sehingga pukul 1 pagi, setiap hari.

"Kemudahan tempat makan di resort disediakan di Kafe D'Nyiur yang boleh memuatkan sehingga 70 pengunjung dalam satu masa. Dekorasi dalaman kafe yang mengetengahkan tudung saji tekat pasti memikat hati penggemar kraf tradisional," katanya.

Mengenai kemudahan penginapan di resort itu, katanya setiap chalet dilengkapi dengan ruang tamu, televisyen, cerek elektrik, perabot, dua bilik tidur, pancuran air, sinki pelbagai guna dan beranda.

"Setiap chalet boleh mengisi empat pengunjung dewasa dan katil tambahan boleh disediakan mengikut permintaan," katanya.

Menjawab persoalan kenapa keadaan di dalam chalet seperti terabai termasuk kertas dinding yang mengelupas, Shahril berkata, pihaknya kini dalam proses pengubahsuaian resort dan kerja-kerja membaik pulih sudahpun bermula.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima sejumlah bajet untuk tujuan berkenaan, dan kerja-kerja mengubahsuai dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

"Kerja-kerja dilakukan secara berperingkat kerana sepanjang pengubahsuaian dilakukan, pihak kami tetap beroperasi seperti biasa," jelasnya.

Beliau berharap wajah baru resort itu dapat menarik lebih banyak pengunjung pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: