Monday, December 5, 2011

Daripada gimnastik ke lompat bergalah


Lompatan Isinbayeva sentiasa ditunggu-tunggu peminatnya di seluruh dunia.


JIKA anda peminat olahraga, Yelena Isinbayeva pasti nama yang tidak asing. Siapa tidak kenal dengan bintang lompat bergalah wanita dari Rusia ini, yang hingga hari ini tidak mampu dicabar, malah telah memenangi semua kejuaraan tertinggi yang ada.

Isinbayeva, 29, merupakan satu nama yang amat besar dalam sukan olahraga. Dia sehebat Usain Bolt dalam pecut dan Aksana Miankova dalam baling tukul besi.

Menjadikan kariernya cukup gemilang, dia telah memenangi dua kejuaraan Olimpik pada 2004 dan 2008, selain pernah dinobat sebagai Atlet Wanita Terbaik Dunia oleh badan olahraga antarabangsa, IAAF pada 2004, 2005 dan 2008.

Namun, siapa sangka, juara Olimpik dan dunia dalam lompat bergalah ini sebenarnya memilih olahraga kerana terpaksa.

Dia amat meminati gimnastik dan memilih sukan itu sebagai kariernya, namun disebabkan masalah ketinggian, Isinbayeva terpaksa beralih arah.

Sejak umur lima hingga 15 tahun, Isinbayeva dilatih sebagai gimnas di kampung halamannya di Volgograd, Rusia, namun dengan berat hati dia terpaksa melupakan sukan kegemarannya itu hanya kerana terlalu tinggi - 1.74 meter.

Isinbayeva mengakui, jika tidak berada dalam sukan lompat bergalah, sudah tentu gimnastik pilihannya sekarang.

"Ketika mula menyertai gimnastik saya selalu mengimpikan untuk beraksi dalam acara gimrama (gimnastik berirama) kerana saya sukakan pergerakan badan split dan regangan yang lemah lembut. Saya suka sesuatu yang cantik dan artistik, terutama melihat wanita muda beraksi dalam sukan itu.

"Saya juga sukakan tarian.. tetapi itu semua adalah jika saya bukan seorang atlet olahraga. Namun, kalau saya bukan atlet olahraga sudah tentu saya tidak mengecapi semua kejayaan yang saya ada sekarang, saya gembira dan bangga dengan apa yang telah saya lakukan,'' cerita Isinbayeva.

Mengimbas kembali bagaimana dia boleh terlibat dalam sukan lompat bergalah, Isinbayeva menjelaskan, jurulatihnya dalam sukan gimnastik, Alexander Lisovoy adalah orang yang bertanggungjawab menyerahkannya kepada jurulatih lompat bergalah, Yevgeny Trofimov.

Ketika itu, dia baru berusia 15 tahun, dan Lisovoy mengesan ada bakat lain yang lebih besar tersembunyi dalam diri gadis remaja tinggi lampai itu, tetapi yang pasti ia bukan bakatnya dalam gimnastik.

"Trofimov adalah jurulatih lompat bergalah pertama saya. Hanya setengah tahun selepas bersamanya, saya berjaya meraih kejuaraan sulung pada Sukan Remaja Dunia di Moscow, 1998.

"Pada masa itu saya langsung tidak tahu apa-apa tentang peraturan sukan tersebut dan hanya melakukan apa yang disuruh oleh jurulatih, iaitu melompat, duduk, berehat dan menang.

"Semuanya nampak mudah bagi saya ketika itu, bagaimanapun selepas saya berlatih dengan jurulatih lain, Vitaly Petrov barulah saya dapat merasai kelainan dalam acara lompat bergalah," kata Isinbayeva.

Kini misi utama Isinbayeva adalah untuk mencari kejuaraan hatrik Olimpik dengan mempertahankan pingat emas pada Temasya London 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: