|
KUALA LUMPUR - Selepas melanda selatan Filipina sejak kelmarin sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 440 nyawa, ribut tropika Washi kini dilaporkan bergerak melalui Laut Sulu menuju ke pantai barat Sabah.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam amaran ribut tropika yang dikeluarkan pukul 9 malam tadi menjelaskan, keadaan itu boleh menyebabkan ribut petir, laut bergelora dan angin kencang di perairan pantai barat Sabah, Kudat dan Sandakan.
Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Kosmo! Ahad malam tadi bagaimanapun memberitahu, Malaysia dijangka tidak menghadapi ancaman langsung bencana itu.
Katanya, ini kerana wujud laluan angin kira-kira 528 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah, petang semalam yang mengalihkan pergerakan Washi.
"Walaupun tidak akan kesan langsung, kami tetap mengeluarkan amaran laut bergelora dan angin kencang dengan kelajuan 26 kilometer sejam," katanya.
Menurutnya, keadaan itu sebenarnya tetap berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
Agensi berita melaporkan, ribut Washi turut mengakibatkan kira-kira 500 mangsa hilang apabila bandar pesisir pantai Cagayan de Oro dan Iligan di wilayah Mindanao, selatan Filipina dilanda banjir kilat.
Bencana itu melanda tanpa amaran ketika penduduk sedang nyenyak tidur awal pagi semalam dan mengakibatkan ramai mangsa dihanyutkan ke laut.
Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan, Alvin Bacal berkata, angka kematian tinggi itu disebabkan oleh penduduk di dua kawasan terbabit jarang menghadapi ribut tropika.
"Ramai panik kerana dalam masa tidak sampai 30 minit, air di beberapa kawasan rendah naik mendadak sehingga setinggi 3.3 meter," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: