air tercemar

SIMPANG LIMA – Tindakan pemaju sebuah kilang yang didakwa membuang sisa air pemprosesan udang ke dalam sistem perparitan di Kampung Sungai Rawa, di sini, membangkitkan keluhan daripada kalangan penduduk.

Penduduk, Roslan Saidin, 37, berkata, tindakan berkenaan telah mendatangkan bau kurang menyelesakan berikutan sistem perparitan kampung itu turut bersambung dengan sistem perparitan di rumah-rumah penduduk.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kerian telah dimaklumkan berkenaan masalah ini, dan dimaklumkan pihak berkenaan akan menghantar wakil untuk membuat tinjauan.

“Jabatan Kesihatan Daerah telah menghantar wakil untuk membuat tinjauan berhubung masalah berkenaan, namun kita masih belum menerima kehadiran wakil daripada JAS hingga kini.

“Namun, selepas wakil Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan, tidak kelihatan sebarang tindakan yang diambil bagi menyelesaikan masalah pencemaran air ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Roslan, keadaan mula menjadi serius selepas laluan air di ladang Sime Darby terpaksa ditutup kerana pihak ladang berkenaan risau pencemaran air itu akan membawa kesan kepada tanaman dan ternakan.

“Penutupan laluan air itu telah menyebabkan sisa air pemprosesan udang itu mengalir masuk ke dalam sistem perparitan penduduk secara terus, mengakibatkan pencemaran air.

“Kami tidak dapat membayangkan jika air berkenaan melimpah masuk ke dalam rumah penduduk jika berlaku banjir kilat dan saya yakin pemaju itu sendiri tentu tidak sanggup menghidu bau yang busuk serta meloyakan itu,” katanya.

Mewakili penduduk, Roslam berharap pihak berwajib dapat turun padang untuk melihat sendiri keadaan yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

Menurutnya, penduduk berharap pihak-pihak berkenaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta penguatkuasa Majlis Daerah Kerian sudi turun padang melihat sendiri keadaan air di parit berhampiran kawasan rumah penduduk di sini supaya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.