KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan untuk mendaftar kira-kira sejuta belia sebagai ahli program perintis kesukarelawan, MyCorps.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, program itu yang merupakan salah satu daripada Inisiatif Makmal Transformasi Pembangunan Belia 2010 akan diterapkan menjadi gaya hidup masyarakat di negara ini.
"Pada tahun ini, pihak KBS menyasarkan untuk mendaftarkan 60 ahli MyCorps yang dilatih bagi memimpin ahli-ahli baharu pada masa hadapan. Kumpulan perintis ini juga boleh dianggap sebagai kumpulan elit sukarelawan di negara ini.
"Kumpulan sukarelawan MyCorps ini pula bukan hanya diperlukan ketika berlakunya bencana alam seperti banjir dan gempa bumi malah dalam apa jua situasi yang memerlukan khidmat kerja-kerja komuniti," katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Karnival Belia 1Malaysia di pekarangan Tesco Ampang di sini semalam.
Inisiatif MyCorps diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Himpunan Sejuta Belia yang berlangsung di Putrajaya pada bulan Mei lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, bilangan sukarelawan yang dimiliki sesebuah negara juga penting dalam menentukan status negara maju.
"Sebagai contoh, Australia berjaya mendaftarkan kira-kira lima juta sukarelawan ketika mereka menyambut Hari Sukarelawan Kebangsaan pada bulan lepas dan mereka berjaya menyumbangkan 700 juta jam kerja-kerja komuniti dan kemasyarakatan di negara berkenaan.
"Bagaimanapun, bagi negara-negara membangun, rakyatnya kurang berminat untuk menjadi sukarelawan kerana beranggapan sesuatu itu tidak dapat dilakukan tanpa wang sebagai pendorong," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: