Sunday, December 18, 2011

Aishiteru popularkan Zivilia


DARI kiri: Idham (bass), Zul (vokalis, piano dan gitar) serta Obot (dram), inilah wajah pemuzik yang membawa lagu Aishiteru.


LAGU Aishiteru sudah membikin demam buat khalayak walaupun pada mulanya mereka tertanya-tanya siapakah pencipta dan penyumbang suara untuk lagu itu.

"Lagu itu tersebar daripada seorang pendengar kepada pendengar yang lain gara-gara video lagu demo saya. Malah ada yang menjudulkan lagu itu Jambatan Kenangan.

"Kemudian, saya dipanggil oleh pihak rumah muzik Nagaswara pada Oktober tahun lalu untuk berbincang mengenai kontrak," ujar Zul yang merupakan penyanyi grup Zivilia di Indonesia.

"Semua lagu Zivilia dicipta sewaktu saya bekerja di Jepun. Saya sempat belajar bahasa Jepun dalam masa enam bulan ketika bekerja di sana," tambah Zul yang tinggal di Nagoya, Jepun selama enam tahun.

Jujur bercerita, Zul berkata lagu-lagu ciptaannya banyak ditujukan kepada seorang yang sangat istimewa iaitu isterinya sendiri.

Malah, nama Vilia untuk grup ini diambil sempena nama isterinya Fhilia.

Namun, jodoh mereka tidak panjang. Mereka berpisah pada tahun 2009 selepas mendapat dua cahaya mata.

Ditanya tentang situasi lagu Aishiteru yang lebih popular berbanding grup Zivilia sendiri, Zul mengakui perkara tersebut.

"Saya bangga lagu itu diterima tetapi sedikit terkilan kerana sewaktu lagu itu diperdengarkan di pusat beli-belah Mangga Dua di Jakarta, ada yang seperti tidak percaya lagu itu nyanyian saya," kata Zul sewaktu ditemui di ibu kota itu baru-baru ini.

Meskipun tajuk lagu itu ala bahasa Jepun, liriknya dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Indonesia. Kini, Aishiteru 2 bakal menyusul.

"Lagu Aishiteru 2 adalah lanjutan daripada Aishiteru. Ia berkisar pengalaman sakit menangung rindu terhadap orang tersayang kerana tinggal di negara orang.

"Sekembali ke tanah air rupa-rupanya Tuhan ada rancangan lain untuk kehidupan," ungkap Zul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: