Sunday, December 18, 2011

Rasukan Yana




TIDAK mendadak popular atau dibadai angin sensasi, kerjaya aktres berlesung pipit, Norliana Samsudin bermula di belakang tabir sebelum naik ke pentas nyanyian. Bagaimanapun, deras arus seni membawa imejnya lebih dikenali sebagai pelakon.

Senang dibahasakan Yana, paling teruk dia pernah dituduh perosak industri dek kegagalan impak filem arahan sulungnya, Selamat Pagi Cinta. Bagaimanapun, dia tidak berkubur di situ. Pengajian seni filem di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dihabiskan, kemudian arusnya bertukar.

Diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Adnan Sempit menjadi pencapaian terbaiknya.

“Saya lihat graf karier saya sedang meningkat. Saya akui saya tiada cerita panas, mungkin sebab itu ada segelintir pihak kurang pedulikan saya.

“Tapi saya terharu bila ada peminat yang sanggup tunggu untuk bergambar dengan saya,” bisiknya berharap peminat terasuk oleh buah lakon terbarunya, Santau Merasuk yang bermula 15 Disember lalu.

Ke udara menerusi slot Seram setiap Khamis, pukul 9.30 malam di TV3, itu drama pertama yang meletakkan Yana sebagai heroin dalam slot drama seram di kaca televisyen.

Katanya: “Sebelum ini saya jadi kawan kepada heroin yang kena rasuk. Kira inilah kali pertama saya muncul sepenuhnya dalam cerita seram. Sebelum ini saya pernah melakonkan watak kena rasuk dalam filem Minyak Dagu, tapi filem itu belum ditayangkan.”

Melakonkan watak Nina dalam Santau Merasuk, Yana berdepan sedikit kesukaran untuk larut dalam emosi yang berat. Dia perlu menghayati watak isteri serta ibu yang kehilangan anak.

“Ada babak air mata serta kena rasuk. Saya juga berdepan santau daripada orang yang mencemburui kebahagiaan kami sekeluarga,” cerita Yana yang bergandingan dengan Fezrol Khan sebagai pasangan berkelamin dalam siri berkenaan.

Masih di lokasi bawah arahan Ismail Bob Hashim sehingga Januari depan, Yana ditebak perihal kritikan umum bahawa cerita seram itu tahyul dan merosakkan minda penonton khususnya kanak-kanak.

“Memang klise tapi cerita sebegini dekat dengan penonton. Saya juga pernah jumpa kanak-kanak yang tidak takut cerita hantu. Lagi satu, ada unsur moral yang cuba diterapkan. Jadi tak wajar semua cerita seram dilabelkan teruk,” katanya yang turut berdepan peristiwa aneh di lokasi.

Ceritanya tergelak: “Lepas penggambaran berhampiran sebatang pokok jejawi, tiga hari badan saya bisa-bisa dan bengkak. Hari keempat, kaki saya kebas dan emosi tak tenteram, rasa nak mengamuk.

“Esok paginya apabila saya bangun tidur kawan saya kata, saya meracau-racau sikit, tapi lepas dibacakan ayat al-Quran, barulah saya tenang.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: