ZANITA...berjiwa lembut namun kental dalam kerjaya.
PENGALAMAN selama 15 tahun sebagai kurator di Balai Seni Lukis Negara dan kini sebagai Pengarah Innovasi Muzium, Jabatan Muzium Malaysia memberi banyak kelebihan kepada wanita berwajah lembut ini untuk lebih menghargai seni.
Baginya, seni membentuk jati diri menjadi lebih berani dan seni juga mengupas asal-usul serta identiti diri untuk mengenali siapa diri sebenarnya.
Mempunyai darah campuran India, Cina dan Melayu, Zanita Anuar membesar dalam kepelbagaian budaya, cara hidup dan adat resam berbeza yang banyak membentuk dirinya menjadi lebih sensitif kepada nilai dan budaya masyarakat.
Ini kerana setiap perayaan sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali disambut meriah dengan pengertian berlainan.
“Mempelajari budaya sesuatu kaum membuatkan kita lebih menghargai masyarakat.
Ini kerana dengan menyelaminya, seseorang itu akan menjadi lebih dihormati,” katanya.
Bertugas sebagai kurator, Zanita bertindak sebagai penyelidik bagi mencari maklumat dan memahami setiap koleksi yang diperoleh dari muzium.
“Sebaik artifak tiba di muzium, bermulalah kerja kurator untuk mencari segala maklumat mengenainya agar dapat disampaikan kepada orang ramai. Sesetengah artifak tiba sebagai ‘barang’ kosong tanpa sebarang maklumat, jadi kurator perlu membuat penyelidikan dan bertanya pada pihak tertentu,” katanya.
Proses ini memerlukan masa yang panjang kerana setiap kajian memerlukan seorang kurator itu bersifat sabar, tekun, ikhlas dan berdisiplin dalam apa juga yang dilakukan mereka.
Kerana keistimewaan ini, Zanita dilantik sebagai juri untuk Pertandingan Seni & Rekaan Radostar Prize 2011, anjuran pembuat jam berwawasan dari Switzerland bersama Naib Presiden Rado Malaysia, Bernard Yong dan tiga personaliti terkenal Malaysia, pereka fesyen, Khoon Hooi serta pemenang anugerah dan pereka hias dalaman, Benson Saw.
Menurut Zanita, dia teruja untuk mengadili pertandingan seni reka berprestij bagi merangsang dunia seni dan rekaan Malaysia.
Pertandingan itu dapat memberi penghormatan kepada insan berinspirasi dan inovatif yang diterjemahkan menerusi kreativiti mereka, sekali gus membuka peluang kepada golongan muda menyerlahkan bakat untuk mendapat pengiktirafan masyarakat tempatan dan global.
“Pada tahun lalu yang dikenali sebagai The Rado Young Design Prize 2010, ia dimenangi oleh anak muda yang membuat rekaan perabot unik diilhamkan daripada bentuk paku pakis yang melambangkan alam semula jadi. Justeru pada tahun ini, diharap penyertaan anak muda lebih kreatif dan inovatif melangkaui batas sempadan,” katanya.
Tambah Zanita, bagi mendapatkan idea melahirkan sesuatu rekaan, seseorang itu harus mempunyai pelbagai pengalaman tidak kira ketika kecil, remaja atau pada masa sekarang. Ini kerana percantuman daripada pengalaman ini menjadikan rekaan bertambah unik dan menarik.
Malah, ada yang mempunyai pengalaman suka-duka dalam keluarga, tetapi mampu menghasilkan aspirasi sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Dalam hal ini latar belakang dan pengalaman hidup akan menyatukan jati diri supaya nampak kukuh, sekali gus menghasilkan seni kreatif yang unik dan terbaik,” jelasnya.
Sambil membandingkan pereka lama dan baru, pereka sekarang seharusnya lebih inovatif menghasilkan karya mereka kerana terdapat pelbagai teknologi yang dapat memudahkan hasil seni mereka.
Ini berbeza dengan pereka zaman dulu yang terpaksa melakukannya berhari-hari bagi menghasilkan sesuatu rekaan.
“Sekarang terdapat mesin cetak berteknologi, pemotong laser dan elektrik yang memudahkan kerja penghasilan produk,” katanya.
Selaras dengan visi Rado iaitu mewujudkan ikon berinovasi, unggul dan menggunakan bahan berkualiti tinggi dalam pembikinan reka bentuk jam, diharap pertandingan itu dapat memupuk tenaga anak muda yang tidak pernah luntur, sekali gus memberi inspirasi untuk menyumbang karya unik kepada dunia rekaan.
Pada tahun ini, lebih banyak kategori dipertandingkan bagi mencari lebih ramai anak muda berbakat.
Sebanyak 15 kategori dipertandingkan antaranya animasi, seni bina, digital, fesyen, reka grafik, barang kemas, ilustrasi, pemasangan, lukisan, hiasan dalaman, fotografi, percetakan, produk, seni acra dan video.
Dua kategori baru iaitu seni khat dan rekaan fabrik ditambah pada tahun ini.
Ini secara langsung meluaskan ruang bagi mempelbagaikan karya seni daripada pereka berpotensi Malaysia yang belum pernah dipasarkan setakat ini.
Sebagai juri, pemilihan pemenang berdasarkan pada rekaan dan keupayaan peserta menghasilkan rekaan menerusi ciri-ciri diberikan Rado.
Kejayaan peserta berdasarkan disiplin diri serta daya kreativiti mereka dan bukannya pada tahap pendidikan mereka.
“Misalnya remaja sering dikaitkan dengan pemberontakan dan jiwa yang ingin �bebas. Namun adakalanya �sifat mereka ini akan membawa kepada sesuatu yang kreatif.
“Contohnya, pelukis hebat negara melalui pengalaman yang menyentap jiwa.
“Namun kebanyakan mereka berjaya di luar negara dan dikenali di seluruh dunia.
Tiada kongkongan untuk menghasilkan rekaan yang baik kerana seni kreatif melangkaui batas sempadan dan budaya,” katanya.
Walaupun dalam sesuatu pertandingan peserta wanita dilihat kurang menyerlah atau tidak berminat menyertainya, ini tidak bermakna mereka kurang kreatif sebaliknya ia adalah pilihan wanita itu sendiri untuk tidak menyertai atau terjebak di dalam bidang ini.
Ada pula yang memberi alasan kekangan seperti sudah berkeluarga dan mempunyai anak menyebabkan mereka tidak mampu meneruskannya.
Besar harapan Zanita dengan adanya pertandingan ini, ia mampu mencungkil bakat baru dalam seni reka.
Bagi yang berbakat mereka harus memberanikan diri mencuba.
Pertandingan Radostar Prize 2011 dibuka kepada orang awam yang mempunyai minda kreatif dan gemar membuat rekaan dengan menghantar penyertaan secara dalam talian.
Karya seni lima peserta terbaik akan dipilih dan dipamerkan di Suria KLCC bermula 20 Oktober hingga 24 Oktober 2011. Juara akan diumumkan pada majlis penutup pameran pada 24 Oktober ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: