Wednesday, October 5, 2011

Unjam nelayan dimusnah

NELAYAN Kampung Sura Hujung, Dungun, Mohamad Ali menunjukkan unjam yang musnah dilanyak bot pukat  tunda.
NELAYAN Kampung Sura Hujung, Dungun, Mohamad Ali menunjukkan unjam yang musnah dilanyak bot pukat tunda.
Segelintir bot pukat tunda tangkap ikan berhampiran pantai

DUNGUN: Segelintir bot pukat tunda dikesan menjalankan operasi menangkap ikan di kawasan berhampiran pantai, walaupun kumpulan bot itu dibenarkan menangkap ikan melebihi lima batu nautika dari daratan.
Perbuatan nelayan bot terbabit bukan saja melanggar peraturan, malah turut menyebabkan kira-kira 300 unjam yang diusahakan nelayan kecil di Kampung Sura Hujung itu dimusnahkan pukat terbabit.
Berita Harian yang membuat tinjauan di kampung itu terserempak dengan empat bot pukat tunda terbabit dan sempat merakamkan aksi kegiatan itu bersama bantuan beberapa nelayan di kampung berkenaan.

Nelayan di kampung itu, Raja Syukri Raja Ibrahim, 41, berkata mereka kini sukar mencari rezeki apabila bot pukat tunda turut mengganggu lokasi mereka memasang unjam.

Beliau berkata, 300 unjam yang diusahakan 40 nelayan pesisir pantai di Kampung Sura Hujung habis dilanyak bot terbabit, yang disifatkan nelayan di kampung itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Katanya, bot pukat tunda terbabit gemar memukat di kawasan unjam, memandangkan banyak ikan bermutu tinggi gemar bermain di kawasan unjam.
"Unjam daripada ranting dan daun itu dibenamkan dalam laut. Ia akan menjadi tempat pembiakan ikan dan memudahkan nelayan kecil menangkap ikan tanpa mencari lokasi lain.

"Bot pukat tunda dipercayai tidak berlesen itu memukat hampir di daratan sedangkan syarat pukat tunda melebihi lima batu nautika. Bagaimana kami mahu mencari rezeki jika keadaan begini berpanjangan," katanya.

Raja Syukri berkata, pemilik bot terbabit dikatakan menangkap ikan pada waktu petang dan malam kerana ketika itu, pihak berkuasa menghentikan operasi memantau kegiatan nelayan.

"Setiap petang, jika berada di daratan, kita boleh nampak jelas bot pukat tunda itu beroperasi. Kita tidak marah mereka mencari rezeki, tetapi tindakan itu jangan sampai memusnahkan unjam kami,” katanya.

Nelayan, Raja Saharudin Raja Ibrahim, 30, berkata 250 unjam yang diletakkan di perairan itu sejak April lalu musnah angkara perbuatan bot pukat tunda terbabit.

Katanya, unjam yang diusahakannya membabitkan perbelanjaan RM5,000 itu adalah sumber nelayan kecil di kampungnya memancing ikan seperti bawal, kerisi, cencaru dan selayang untuk dijual atau makanan keluarga.

"Saya memerah keringat membina unjam terbabit dan kini hanya tinggal tiga unjam," katanya.

Raja Saharudin berkata, setiap hari nelayan di kawasan itu memperoleh pendapatan sekitar RM100, tetapi akibat kemusnahan unjam itu pendapatan nelayan berkurangan.

"Kami kecewa dengan apa yang berlaku kerana ia menjejaskan usaha kami mencari pendapatan sebagai nelayan di kampung ini. Kami bimbang untuk ke tengah laut memandangkan kami hanya nelayan bot kecil," katanya.

Beliau berkata, kes itu sebelum ini pernah diadukan nelayan kepada pihak berkuasa tetapi bot pukat tunda semakin galak dan bebas beroperasi di situ.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, beliau kesal dengan kejadian menimpa nelayan di kawasan itu dan berjanji akan melaporkan perkara itu kepada Pejabat Perikanan Daerah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: