
MELIHAT kepada kesungguhan pelajar-pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memberi penerangan mengenai kereta solar hasil kerja tangan mereka baru-baru ini cukup mengujakan penulis untuk mendekati mereka.
Pelajar terbabit merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan Solar Ranger yang memberikan penerangan kepada pengunjung Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Diasaskan pada tahun 2003, kumpulan berkenaan mendapat nasihat daripada pensyarah daripada Kolej Kejuruteraan Pelbagai Pengkhususan.
Semuanya bagi menyahut cabaran Cabaran Kereta Solar Dunia 2011 yang sedang berlangsung bermula 16 hingga 23 Oktober ini.
Pertandingan berkenaan secara tidak langsung menawarkan pengalaman terbaik kepada pelajar.
Kumpulan Solar Ranger mereka bentuk kereta lumba solar daripada sifar berbekalkan pengalaman dan pelajaran berasaskan inovasi sehingga kereta berkenaan berjaya dipandu.
Selain mendapat khidmat nasihat daripada pensyarah, kumpulan berkenaan juga bekerjasama dengan pakar-pakar industri bagi mengatasi cabaran yang dihadapi semasa menjalankan projek berkenaan.
Ahli kumpulan berkongsi sasaran yang sama bagi merekabentuk, membina, menguji dan berlumba menggunakan kereta berkuasa solar.
Sasaran kumpulan adalah untuk mengajar dan memimpin bagi generasi profesional akan datang di negara ini.
Sehingga kini sebanyak 10 buah kereta telah dibina sebagai prototaip dan dinamakan Solar Ranger 2.
Projek yang mengambil masa selama 24 bulan ini memakan kos sehingga RM40,000 dan kereta berkenaan telah berjalan sejauh 500 kilometer (km).
Kereta solar yang diperbuat daripada gentian kaca menggunakan hanya tiga biji tayar dengan tayar depan daripada aloi manakala depan aluminium.
Kereta solar yang mempunyai berat hanya 280 kilogram berbanding 400 kilogram semasa dipertandingkan sebelum ini.
Kereta solar yang panjangnya 4.95 meter (m), lebar 1.75 m dan tinggi 0.5m boleh memuatkan satu atau dua penumpang dan pemandu.
Pelajar tahun satu, dua dan tiga dalam pelbagai bidang pengkhususan bekerjasama menghasilkan kereta solar untuk dipertandingkan semasa Solar Challenge buat kali kedua.
"Semuanya bermula dengan perbincangan pada tahun 2010 dan mengambil masa tiga bulan hanya untuk merangka badan kereta yang menggunakan 167 keping panel solar.
"Badan kereta diperbuat daripada gentian kaca seberat 240 kilogram berbanding 400 kg sebelum ini," kata Aza Alzizul Zarith Zainal Azhar, 25 selaku pemandu ke dua.
Selain Aza Alzizul Zarith, tiga lagi peserta adalah Ahmad Shamimi Shahir Murat, 24, Mohd. Azuan Fauzuddin, 22, dan Mohd. Fuad Mohd. Shari, 22.
Berat bateri yang digunakan sebelum ini adalah 80 kg berbanding 50 kg sekarang.
Kos membuat kereta berkenaan kira-kira RM400,000.
"Kami berharap akan dapat menghabiskan perlumbaan sejauh 3,000 kilometer merentasi benua Australia," katanya.
Pembaca boleh mendapatkan maklumat tambahan mengenai kereta solar Uniten di solar.coe.edu.my atau facebook.com/solar.ranger sebagai tanda sokongan kepada pasukan tanah air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: