Tuesday, October 25, 2011

Transformasi mula tunjuk hasil


KERAJAAN sentiasa menjalankan usaha untuk menambah pendapatan masyarakat India serta meningkatkan potensi mereka dalam bidang perniagaan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Perayaan Pesta Cahaya pada Rabu ini adalah istimewa kerana ia disambut ketika usaha-usaha transformasi negara mula membuahkan hasil, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan dalam penglibatan dan penyampaian terus khidmat kepada masyarakat India telah mula menunjukkan kesan.

"Pelbagai inisiatif khas yang kita laksanakan sejak dua tahun lepas telah membuahkan hasil yang mempunyai impak nyata dan positif terhadap individu-individu dan keluarga-keluarga masyarakat India.

"Ini telah memberikan kami keyakinan untuk memperkukuh serta meluaskan lagi usaha kami supaya dapat menolong semua yang memerlukan bantuan," katanya dalam blognya www.1Malaysia.com.my sempena sambutan Hari Deepavali esok.

Najib berkata, dalam hal ini, kerajaan akan mengusahakan inisiatif secara langsung untuk menambah pendapatan dalam kalangan masyarakat India.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited untuk merealisasikan kemahiran perniagaan masyarakat India dan akan melakukan usaha-usaha untuk memupuk potensi itu.

"Dalam usaha untuk mencapai wawasan kita untuk menaik taraf kehidupan masyarakat India secara komprehensif, saya memerlukan komitmen dan kepercayaan masyarakat India untuk bekerja bersama saya.

"Kepercayaan atau 'nambikei' daripada setiap rakyat Malaysia berketurunan India adalah amat penting dalam menjalin perkongsian penuh dan berkesan di antara kerajaan dan masyarakat," katanya.

Najib berkata, ini akan memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini serta generasi masa akan datang.

Ujarnya, satu perkara yang penting ke arah transformasi negara adalah hakikat bahawa setiap seorang daripada rakyat negara ini terlibat di dalam usaha tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: