Saturday, October 1, 2011

Teruja tunggu bayi sulung


FINAZ merupakan satu-satunya penyampai wanita Berita AlHijrah yang disiarkan pada setiap hari, pukul 8.30 malam.


MENANTI kelahiran cahaya mata sulung sememangnya mengundang degupan jantung yang lebih kencang daripada biasa lantaran menanggung rasa debar saat melahirkan bayi itu kelak.

Pelbagai versi cerita dan pengalaman telah didengar dan sedikit sebanyak, perkongsian daripada rakan-rakan itu mengundang rasa gusar di hati pembaca berita TV AlHijrah, Syafinaz Yunus, 26 atau mesra disapa sebagai Finaz.

Dilamar oleh seorang usahawan, Muhammad Salehuddin Mohd. Nor, 31, sepuluh bulan lalu, Finaz yang kini sarat mengandung lapan bulan mengakui, perasaannya silih berganti antara gembira berbaur gundah kerana memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku tatkala sudah tiba waktunya nanti.

Finaz yang ditemui ketika membeli-belah persiapan untuk menyambut kelahiran anak sulungnya itu memberitahu, pada peringkat awal apabila mengetahui dirinya hamil, dia agak bimbang kerana sentiasa memikirkan adakah dia bersedia untuk bergelar ibu atau pun tidak.

“Namun, lama-kelamaan sifat keibuan dalam diri saya mula wujud dengan sendirinya apatah lagi apabila merasai pergerakan bayi di dalam kandungan.

“Selepas membuat imbasan dan dapat melihat fizikal bayi, saya dan suami menitiskan air mata kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk bergelar ibu dan bapa walaupun bayi itu belum lagi melihat dunia,” cerita Finaz penuh emosi di sisi suaminya.

Graduan Institut Integratif Media Malaysia (MIIM) itu menambah, sepanjang tempoh hamil, Finaz tidak menghadapi alahan yang teruk melainkan muntah-muntah dan pening kepala.

Tambah anak kelahiran Jasin, Melaka itu, suaminya pernah bergegas membawanya ke Umbai, Melaka, gara-gara dia mengidam untuk memakan ikan bakar yang popular di situ.

“Ketika saya menyatakan hasrat itu, jam menunjukkan pukul 9 malam dan ketika itu jugalah suami saya terus bersiap dan memandu menuju ke Ikan Bakar Anjung Batu, lokasi popular untuk peminat makanan laut,” cerita Finaz yang juga menjawat posisi sebagai penolong penerbit dan wartawan penyiaran itu.

Sementara itu, sewaktu membeli-belah di butik Poney yang terletak di Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Finaz yang ditemani suami begitu teruja membeli pakaian untuk anaknya.

Bakal menimang cahaya mata lelaki, Finaz membeitahu, segala kelengkapan untuk menyambut cahaya matanya itu sudah disediakan dan berdoa segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Walaupun teruja, saya masih bersederhana dalam berbelanja agar tidak berlebihan dan membazir.

“Saya hanya membeli beberapa pakaian yang dirasakan perlu dan sesuai dalam kuantiti yang berpatutan,” jelasnya yang sudah hampir empat tahun terlibat dalam dunia penyiaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: