Monday, October 3, 2011

‘Terkejut nampak muka bayi’

KEJAM...anggota polis memeriksa mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam perigi. Gambar kecil, Tuan Mat.
KEJAM...anggota polis memeriksa mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam perigi. Gambar kecil, Tuan Mat.

KOTA BHARU: Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat bukan saja dihumban ke dalam perigi sedalam lima meter, malah disumbat di dalam beg sebelum ditemui di kawasan kebun getah, Kampung Belimbing dekat Limbat, di sini, pagi semalam.

Mayat bayi yang dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu ditemui pada jam 8 pagi oleh seorang penoreh getah, Tuan Mat Tuan Lunik, 64, sebelum dia menghubungi polis.


Menurut Tuan Mat, dia dan isterinya, Siti Fatimah Awang, 60, seperti biasa mahu memulakan kerja menoreh getah di kebun mereka.

Katanya, ketika mahu mengambil air di sebuah perigi , dia ternampak sebuah beg sebelum menaikkan beg itu menggunakan galah.


“Saya buka beg itu sedikit dan terkejut apabila ternampak muka bayi. Saya terus memaklumkan kepada penghulu kampung, Zakaria Awang Teh sebelum menghubungi polis,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tiba di tempat kejadian pada jam 10 pagi dan bayi itu dipercayai dilahirkan antara dua hingga tiga hari lalu.

Katanya, polis turut menemui sebuah bungkusan berisi pakaian dalam wanita dan kain tuala dipenuhi darah yang ditinggalkan kira-kira 20 meter dari perigi berkenaan.


“Mayat bayi ditemui cukup sifat itu dicampak ke dalam perigi. Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Jalaluddin, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis dengan segera bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: