jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Thursday, October 6, 2011

Taja MUH akhiri zaman bujang


DUA tahun di alam pertunangan, Taja dan Kimi kini bersama-sama mengharungi bahtera rumah tangga.


EMPAT tahun bercinta dan kemudian mengikat tali pertunangan pada bulan Jun 2009, akhirnya ketua kumpulan dan pemain gitar kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) Nik Mustaza Nik Mustapha telah melangsungkan perkahwinan dengan Nafisah Mohamat Yusof Khir pada 1 Oktober yang lalu.

Dalam satu majlis yang diadakan secara sederhana dan dihadiri keluarga terdekat, pasangan tersebut dinikahkan di kediaman pengantin perempuan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Azubir Razali.

Pada majlis berkenaan, Nafisah atau Kimi, 28, yang juga merupakan pengurus MUH menerima mas kahwin berupa seutas rantai emas dan sembilan dulang hantaran termasuk wang hantaran RM10,000, kamera digital Samsung, set alat solek MAC, haruman Vera Wang, iPad2, cincin berlian Lumiere, al-Quran, buah-buahan, coklat dan beg tangan berjenama Coach.

Nik Mustaza, 32, atau lebih lebih dikenali sebagai Taja pula menerima tujuh dulang hantaran daripada Kimi iaitu set permainan PS3, kamera DSLR Canon EOS 60D, haruman Polo, al-Quran, jam berjenama Cerutti 1881 dan sirih junjung.

Ditemui dalam satu majlis resepsi yang diadakan sehari selepas majlis akad nikah, Taja meluahkan rasa syukurnya apabila hasrat untuk mendirikan rumah tangga akhirnya telah terlaksana.

“Ia adalah hari yang cukup menggembirakan kerana segala yang dirancang menjadi kenyataan. Tempoh pertunangan selama dua tahun sudah cukup untuk mengenali isteri sehinggalah saya mengambil keputusan untuk melamarnya sebagai suri hidup saya.

“Apa yang saya lihat dia merupakan seorang wanita yang bijak merancang, namun seorang yang cukup tegas dalam membuat seseuatu keputusan. Selain itu, dia juga datang dari keluarga yang baik,” ujarnya.

Ditanya adakah sukar menjalinkan hubungan percintaan dengan pengurus sendiri, Taja mengakui memang agak sukar dan tidak menafikan mereka selalu berselisih pendapat mengenai kerja.

Jelasnya lagi, adakalanya mereka berdua juga sering kali bergaduh kerana tidak sependapat, namun akhirnya berbaik semula setelah sama-sama duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah yang timbul cara baik.

“Untuk tempoh tahun yang pertama tidak ramai yang tahu kami bercinta termasuk ahli kumpulan MUH. Bila mereka sudah tahu, kadangkala mereka berasa serba salah untuk memihak kepada siapa terutamanya bila saya dan isteri berselisih faham,” ujarnya.

Sementara itu, Kimi pula memberitahu apa yang membuat dia tertarik dan bersetuju untuk bergelar sebagai isteri Taja disebabkan dia melihat pemuzik itu sebagai seorang yang cukup penyabar dan sangat mengambil berat.

“Selama berkawan dan bercinta, suami seorang lelaki yang sedia membantu dalam segala perkara. Misalnya, dia sanggup menghantar saya ke hospital pada waktu malam apabila saya diserang lelah dan keran sikapnya itu membuatkan saya terpaut kepadanya,” ujar Kimi.

Mengenai cahaya mata pula, pasangan tersebut memberitahu mereka tidak merancang dan bersedia pada bila-bila masa sahaja. Malah, mereka berharap untuk dikurniakan anak secepat mungkin.


RAKAN-RAKAN rapat turut teruja dengan perkahwinan Taja dan Kimi.


Dikau Rembulan

Selain dikenali sebagai pemain gitar, Taja yang juga merupakan seorang komposer telah menghasilkan sebuah lagu istimewa berjudul Dikau Rembulan sebagai hadiah perkahwinan untuk isteri tercinta.

Menurutnya, lagu tersebut telah dicipta olehnya ketika seminggu sebelum perkahwinan mereka berlangsung dan menjelaskan setiap lirik yang terkandung di dalam lagu tersebut ada berkaitan dengan kisah percintaan mereka.

“Untuk lagu tersebut saya sendiri yang turut menyanyikan khusus buat isteri. Sebagai sebuah hadiah perkahwinan, saya tidak merancang untuk komersialkan lagu itu kerana ia hadiah saya kepadanya,” ujarnya.

Kimi yang dilihat terharu dengan hadiah istimewa pemberian suami tercinta pula memberitahu dia sebenarnya dapat mengetahui tentang penciptaan lagu tersebut beberapa hari sebelum tarikh perkahwinan.

“Pada mulanya saya memang langsung tidak tahu lagu Dikau Rembulan diciptakan khas untuk saya. Kemudian apabila saya pergi berjumpa dengannya di studio, ketika itu dia sedang merakamkan lagu itu,” ujarnya.

Pasangan tersebut merancang untuk berbulan madu di pulau peranginan dalam Malaysia dalam masa terdekat sebelum dijangka ke Bali, Indonesia pada bulan Februari 2012 untuk menyaksikan konsert U2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: