PARIS - Dominique Strauss-Kahn akhirnya bersemuka dengan seorang wanita Perancis yang mendakwa bahawa bekas ketua Dana Kewangan antarabangsa (IMF) itu cuba merogolnya.
Namun wanita berkenaan yang juga seorang wartawan, Tristane Banon memberitahu, Strauss-Kahn enggan memandang atau memohon maaf kepadanya ketika pertemuan mereka berlangsung di hadapan beberapa orang detektif.
Beberapa detektif diarahkan menyoal siasat Strauss-Kahn dan wanita berusia 32 tahun itu kelmarin untuk membantu pihak berkuasa memutuskan sama ada tindakan lanjut boleh diambil berhubung dakwaan yang dibuat oleh Banon.
Banon mendakwa Strauss-Kahn menyerangnya dalam satu sesi temuramah untuk penulisan sebuah buku pada tahun 2003. Strauss-Kahn bagaimanapun menegaskan bahwa tuduhan itu adalah fitnah dan imaginasi semata-mata.
Dalam satu wawancara bersama televisyen tempatan, TF1 kelmarin, Banon berkata Strauss-Kahn berulang kali menegaskan tuduhan itu sengaja direka-reka.
Menurutnya, Strauss-Kahn, 62, menunjukkan sifat ego dan dingin semasa sesi soal siasat itu berlangsung.
"Saya fikir beliau akan memohon maaf. Tetapi saya pun tidak dipandangnya," kata Banon.
Wanita itu bagaimanapun menyifatkan sesi pertemuan itu sebagai kejayaan pertama untuknya dalam usaha mengheret Strauss-Kahn ke muka pengadilan.
Pemimpin veteran itu hanya sekali membuat kemunculan awam di stesen televisyen sama sejak beliau kembali ke Perancis dua minggu lalu.
Strauss-Kahn pernah ditangkap pada Mei lalu kerana didakwa cuba merogol seorang pengemas bilik hotel tempat dia menginap di bandar raya New York.
Namun, dia dibebaskan daripada tuduhan tersebut beberapa minggu kemudian selepas pihak pendakwa raya menemui beberapa kesangsian berhubung dakwaan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: