Tuesday, October 18, 2011

Sonim XP5300 Force telefon bimbit ekstrem

TAHAN LASAK...jurujual menunjukkan Sonim XP5300 Force yang boleh direndam di dalam air.
TAHAN LASAK...jurujual menunjukkan Sonim XP5300 Force yang boleh direndam di dalam air.

BCC Technology Sdn Bhd, syarikat tempatan yang dilantik sebagai pengedar dan pengimport tunggal telefon bimbit lasak dikenali sebagai Sonim menjangkakan jualan mencecah 10,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hafidz Win berkata, telefon bimbit itu yang dihasilkan Sonim Technologies dari Amerika Syarikat direka untuk kegunaan industri dan dalam keadaan ekstrem dijangka mendapat sambutan menggalakkan.


“Telefon bimbit ini mempunyai peminat tersendiri dan ia direka untuk pasaran kecil. Malah, untuk permulaan kami hanya membawa masuk Sonim XP5300 Force yang menyokong rangkaian 3G,” katanya.

Menurutnya, pihaknya membawa masuk kira-kira 100 unit telefon bimbit Sonim untuk diperkenalkan dan ia mendapat sambutan menggalakkan.


“Selepas melihat sambutan yang diterima, kami yakin jenama ini akan diterima di kalangan pengguna khususnya yang terbabit dalam industri perkapalan, pembinaan, pengangkutan atau sukan ekstrem,” katanya selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Abdul Hafidz berkata, pihaknya juga menjangkakan untuk melantik lebih ramai pengedar dan akan meletakkan wakil di setiap negeri bagi memasarkan produk berkenaan.


“Wakil di setiap negeri akan mula beroperasi bermula hujung bulan ini dan untuk tujuan itu kami melabur lebih RM1 juta untuk membawa masuk produk serta melatih kakitangan,” katanya.

Menurut Abdul Hafidz, pihaknya dijangka akan menjalin kerjasama dengan pengendali telekomunikasi bagi memberi pakej berpatutan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan telefon bimbit jenama Sonim.


“Ia dijual pada harga RM1,999, namun kami sedang menimbangkan untuk memberi pakej istimewa kepada pelanggan, ia bergantung kepada kerjasama yang dijalin bersama mana-mana pengendali telekomunikasi,” katanya.


Sonim XP5300 Force mempunyai ciri tahan lasak termasuk tahan gegaran, jangka hayat bateri lebih lama berbanding telefon bimbit biasa, tahan sejuk melampau serta skrin dilindungi kaca Corning Gorilla.


Malah, pengguna masih boleh membuat panggilan walaupun berada di dalam air atau keadaan kritikal kerana ia dilengkapi antena berkualiti tinggi.

1 comment:

  1. handphone tahan lasak, bateri tahan lama dan GPS yang sangat bagus....

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: