RAMAI artis seperti penyanyi, pemuzik dan pelakon yang terpaksa melalui pelbagai kepayahan untuk popular dalam bidang hiburan di negara ini. Popular bukan setakat di mata masyarakat tetapi mereka juga senang untuk memperolehi pendapatan yang lumayan dalam masa singkat.
Biasanya dengan menyanyi satu atau dua lagu dalam sesuatu persembahan, seseorang penyanyi popular menerima bayaran RM5,000 dan ke atas. Malah, jangan terkejut pada persembahan tidak sampai satu jam, ada yang memperolehi pendapatan sehingga RM30,000.
Semua itu diraih sewaktu mereka sedang popular. Justeru, ramai artis yang rambang mata dan seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk menggunakan peluang tersebut. Paling teruk, timbul pula sifat tamak sehingga ramai di antara mereka lupa daratan. Itu adalah antara sindrom artis yang sedang popular di negara ini.
Kemewahan segera itu menyebabkan mereka lupa diri. Kalau dulu tidak pernah menikmati hidup mewah, maka sekarang ini adalah masanya mereka merasai semua itu.
Namun, ramai yang lupa untuk merenung seketika masa tua mereka. Artis antara golongan pekerja yang tidak mempunyai Skim Wang Simpanan Pekerja. Ini bermakna, mereka tiada jaminan kewangan apabila tua kelak. Begitu juga dengan skim insurans atau perubatan.
Sayangnya, segala kekurangan itu pula seakan-akan tidak menyedarkan mereka. Banyak kali berita artis veteran atau yang kurang bernasib baik menagih simpati kerana mereka tidak mampu lagi berkarya disiarkan melalui pelbagai medium media massa. Namun, ia hanya tinggal berita.
Senario yang sedang berlaku itu semacam suatu trend dalam bidang hiburan di negara ini. Setiap kali ada artis baru yang nama mereka sedang melonjak, sindrom itulah yang sering menimpa mereka. Terbaru sindrom itu menimpa kumpulan lawak Sepah.
Sepah kini bukan sahaja hanya dianggotai oleh Mamat, malah dua anggotanya iaitu Jep dan Shuib turut menubuhkan kumpulan baru yang dikenali sebagai Sepahtu. Bukan mahu mencari salah mahupun menyebelahi mana-mana pihak tetapi ramai yang boleh melihat permasalahan mereka.
Dalam keadaan dihimpit populariti yang menjulang, ditambah lagi dengan poket yang sentiasa penuh, sukar untuk mendepani situasi tersebut.
Masalah itu sedikit sebanyak mempengaruhi disiplin dan tahap profesionalisme kerjaya mereka.
Sepah yang menjuarai pertandingan Maharaja Lawak dengan menggondol hadiah wang tunai RM350,000 tetapi berpecah baru-baru ini. Sejak era kegemilangan Senario pada awal tahun 1990-an mereka belum ada pengganti.
Tanpa kekuatan tiga tonggak dalam kumpulan itu, mereka sukar bergerak jauh melainkan mereka mampu menjadi pelawak solo serba boleh seperti Datuk Jamali Shadat.
Perkara itu seharusnya disedari semua artis dan pelbagai langkah juga harus dilakukan bagi mengatasinya termasuklah daripada golongan pakar.
Misalnya dengan berjumpa dengan pakar psikologi bagi mendapatkan nasihat bagi menguruskan kecelaruan minda dan perubahan sikap kerana faktor sekeliling.
Namun, biasanya artis popular lebih gemar menggunakan khidmat pembantu peribadi. Golongan ini lebih kepada menguruskan jadual persembahan ataupun menguruskan hal-hal peribadi artis-artis terbabit.
Amat merugikan buat artis yang menghidap sindrom berkaitan perubahan sikap, disiplin dan kurangnya pengetahuan dalam menguruskan kerjaya mereka.
Ini kerana populariti seseorang artis tidak selalu berada di puncak kejayaan. Apabila sampai ketikanya, mereka akan kehilangan semua itu termasuklah tidak popular kerana dimamah usia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: