Thursday, October 6, 2011

Rancang beli tanah luas operasi

MUSTAPA (tengah) mendengar penerangan   Ditri (kanan)  pada majlis pembukaan rasmi kilang MarelliMotori di Shah Alam, semalam.
MUSTAPA (tengah) mendengar penerangan Ditri (kanan) pada majlis pembukaan rasmi kilang MarelliMotori di Shah Alam, semalam.
Malaysia pintu masuk pasar produk MarelliMotori ke Asia

SELEPAS beberapa bulan beroperasi di Malaysia, MarelliMotori, pengeluar jana kuasa, alat ganti mesin dan motor yang berpangkalan di Itali, bercadang membeli atau menyewa tanah di lokasi sesuai bagi mengembangkan lagi operasinya di negara ini.
Kumpulan yang kini menganggap Malaysia sebagai pintu masuk produknya ke pasaran Asia, beroperasi di negara ini menerusi anak syarikatnya, Marelli Manufacturing Asia Sdn Bhd.
Pengarah Urusan MarelliMotori, Dr Roberto Ditri, berkata pihaknya memutus untuk melabur beberapa juta euro lagi bagi pembesaran operasinya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu susulan ia masih pada peringkat perbincangan dengan beberapa pihak terbabit.

“Kami sudah lama mencari lokasi sesuai untuk kilang kami di luar Itali dan kerja mengenal pasti lokasi ini sudah bermula hampir empat tahun lalu dan akhirnya mendapati, Malaysia sangat sesuai serta memenuhi kriteria yang kami kehendaki.

“Pihak yang berurusan dengan kami memiliki nilai kejujuran yang tinggi dan nilai itu sangat penting jika anda mahu memulakan perniagaan,” katanya kepada media pada majlis pembukaan rasmi kilang syarikat itu di Shah Alam, semalam.
Majlis pembukaan kilang itu yang beroperasi sejak Januari lalu itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ditri berkata, kilang berkenaan kini beroperasi pada kadar 90 peratus dengan kebanyakan produk dihasilkan untuk dieksport ke pasaran Eropah, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Asia Pasifik, terdiri daripada jana kuasa, alat ganti dan motor.

“Syarikat kami yang beribu pejabat di Itali dan dikategorikan sebagai perusahaan kecil sederhana (PKS) dengan pendapatan kira-kira RM100 juta setahun.

“Untuk operasi di Malaysia, kami menyasarkan untuk melabur RM14.5 juta untuk kilang pengeluaran ini yang dimiliki 100 peratus oleh Marelli Overseas Ltd di Itali,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata, penubuhan Marelli di Malaysia sewajarnya dijadikan teladan oleh PKS lain di negara ini kerana ia adalah contoh terbaik bagaimana syarikat kecil mampu meneroka pasaran pada peringkat antarabangsa.

“Dari hanya pejabat wakil pada 1997, mereka terus berkembang sebagai Pusat Jualan, Perkhidmatan dan Pengedaran di Asia Pasifik. Kini operasi mereka mencakupi sebuah kilang pengeluaran dengan 130 pekerja dan saya difahamkan mereka sedang merancang meluaskan lagi operasi mereka di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, sewaktu lawatan Mustapa ke Itali, Roberto dilaporkan berkata, Malaysia menjadi pilihan utama berikutan kestabilan politik dan ekonomi walaupun kadang kala turut menerima tempias daripada kegawatan ekonomi dunia.

Hubungan dua hala akrab antara Malaysia dan negara sekitar Asia juga menjadi pemangkin untuk Marelli menjadikan Malaysia sebagai hab utama mereka di rantau Asia, katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: