Wednesday, October 5, 2011

Qalisha diasah Ajai’

QALISHA...akhirnya dapat jual suara.
QALISHA...akhirnya dapat jual suara.

USIA pembabitannya dalam seni masih hijau dan terlalu baru untuk dinilai. Namun, tutur bicaranya tatkala diajak bersembang tidak langsung mencerminkan pendatang baru yang masih janggal menjawab persoalan.

Kata si empunya senyuman manis, Noor Qalisha Ahmad Rashid atau mesra disapa Qalisha yang nampak begitu matang dan bijak menyusun kata.

  • Foto

    ANGGUN...Qalisha berduet dengan Ajai.

  • Foto

    ANGGUN...Qalisha berduet dengan Ajai.

  • Foto

    ANGGUN...Qalisha berduet dengan Ajai.

Meskipun masih berusia 20 tahun, Qalisha sudah bijak mengatur cerita dan petah bicaranya tidak henti. Bermula dari perkembangan seninya yang kini baru mula selangkah ke depan hinggalah soal peribadi yang perlahan-lahan terbuka.

Bertemu dengannya yang kini sibuk mempromosikan lagu terbaru dendangannya, Satu Januari sentuhan komposer terkenal, Ajai petang Jumaat lalu, bermacam-macam yang ingin dikongsikan olehnya.


Jelasnya berkali-kali, peluang berdiri sebagai penyanyi adalah satu impian yang sudah lama digenggamnya, namun baru kini ia direalisasikan.


“Syukur alhamdulillah, akhirnya apa yang pernah saya angan-angan dulu kini sudah menjadi kenyataan. Bukan mudah untuk tiba ke tahap ini namun semua itu adalah satu semangat yang membakar kesungguhan saya bagi terus memberikan yang terbaik dalam setiap angan yang dipasang. Bagaimanapun saya akui lapangan seni ini adalah satu taruhan yang tidak mudah untuk kita menjangkakan sesuatu.

“Namun, jujurnya saya bersyukur kerana setakat ini reaksi peminat semuanya positif. Satu Januari sudah mula dimainkan di stesen radio tempatan, malah, video lagu itu yang diletakkan di YouTube juga mendapat komen positif daripada peminat. Setidak-tidaknya ia memberikan saya semangat untuk terus memperjuangkan muzik ini.

“Apa yang menjadi keutamaan saya sekarang adalah terus berusaha dan disiplin dalam mengukuhkan lagi empayar yang baru dibina ini,” katanya.

Melihat pada wajahnya yang jelita, personaliti menarik dengan penampilan matangnya, terlintas pula persoalan mengenai lelaki di dalam hatinya yang diangkat menjadi kekasih.

Belum sempat soalan diatur bagi mengorek sisi peribadinya, lekas Qalisha menepis dan mengelak untuk terus disingkap kisah cinta yang masih kosong belum terisi.

“Saya tidak pernah terfikir soal itu dan jauh sekali mengambil pusing mengenainya lebih-lebih lagi di saat ini ketika saya sibuk mencari jalan bagi menguatkan lagi nama saya sebagai seorang pendatang baru. Biarlah cinta dan lelaki itu datang sendiri tanpa perlu dicari kerana saya percaya, semua itu adalah ketentuan yang sudah disuratkan buat kita sebagai hamba.

“Buat masa ini, saya lebih selesa sendirian tanpa sebarang komitmen dalam perhubungan serius. Lagipun saya masih terlalu muda untuk sibuk membebankan diri dengan perkara sebegitu. Keluarga sentiasa ada bersama ada dan menemani saya ke mana saja. Justeru, tidak timbul pula perasaan sunyi atau sepi.

“Apa yang penting sekarang adalah kerjaya nyanyian yang sudah lama saya impikan. Apabila peluang sudah terbentang sebegini, mustahil untuk saya lepaskan,” katanya yang gigih mengatur percaturan kerjayanya.

Bagai sudah tersurat buatnya, Qalisha diasah bakatnya dengan kemas oleh Ajai dan pelbagai persediaan lain diberikan kepadanya oleh syarikat pengurusan Wake The Baby.

Enggan muncul sekadar bersandar pada rupa paras semata-mata, penyanyi yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Celine Dion sebagai inspirasi nyanyiannya ini gigih membentuk kelainan dan kekuatan bagi menonjolkan bakat yang tersembunyi jauh di dalam jiwanya.

“Memang nyanyian adalah minat saya sejak dulu dan ini saja kerjaya yang ingin saya lakukan. Saya tidak mahu hanya berangan kosong atau melakukan sesuatu bagai melepaskan batuk di tangga. Kesungguhan dan komitmen saya selama ini dengan menghadiri kelas vokal dan latihan yang dilakukan abang Ajai berbaloi juga apabila kini saya sudah pun memiliki sebuah album sendiri.

“Namun sebenarnya saya sudah lama bertemu Ajai iaitu ketika saya masih bersekolah lagi di tingkatan tiga dulu. Namun ketika itu saya masih terlalu
muda dan perlu menguatkan lagi bakat yang ada bagi muncul sempurna. Justeru, saya mengambil laluan untuk menghabiskan pengajian dan kemudian baru meletak sepenuh fokus dalam lapangan nyanyian ini.

“Album Qalisha ini memang begitu berharga buat saya kerana setiap jalur melodi dan lirik yang terkandung dalam album ini meninggalkan kenangan yang tersendiri. Saya secara peribadinya menyifatkan album ini sebagai sebuah biografi yang begitu dekat dengan jiwa saya sebagai seorang penggiat seni yang baru mula bertatih mencari jalan terbaik buat kerjaya saya ini.

“Saya hanya mengharapkan agar peminat dapat menerima album ini dengan baik dan memberi laluan kepada penyanyi baru seperti saya untuk terus bertapak membina nama,” katanya.

Bingkisan album perdana Qalisha mengandungi empat lagu yang kesemuanya ciptaan Ajai termasuk Satu Januari, Bebaskanlah dan Cerita Cinta yang akan mula diputarkan stesen radio selepas ini sebagai single keduanya.

Malah, sebuah lagi lagu iaitu Tak Kan Ada pula memperlihatkan penyanyi jelita ini berduet bersama Ajai dengan mengalunkan sebuah lagu romantis yang sarat dengan lirik cinta.

“Pelancaran album bagi memperkenalkan semua empat lagu ini adalah satu titik permulaan buat saya untuk mula memperdagangkan bakat dan nyanyian saya. Saya hanya mampu berusaha dan memberikan yang terbaik namun semuanya bergantung kepada peminat dan pendengar,” katanya.

1 comment:

  1. macam bapuk je. Mak nyah ke perempuan ni?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: