Friday, October 7, 2011

Pusat kreatif anak autisme


ANAK autisme memiliki keistimewaan luar biasa dalam perkara-perkara tertentu.


ATAS kesedaran bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan progresif kanak-kanak autisme, Drypers, jenama lampin pakai buang terkemuka mengumumkan kerjasama jangka panjang bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Kerjasama tersebut merangkumi pelantikan NASOM sebagai benefisiari utama bagi semua aktiviti pungutan derma yang dijalankan Drypers.

Matlamat utama ia diwujudkan adalah bagi mengumpul dana untuk melengkapkan Pusat Kreatif yang diadakan bagi membentuk persekitaran lebih baik kepada kanak-kanak persatuan tersebut.

Pusat Kreatif di Setia Alam, Shah Alam, Selangor itu bakal merangkumi aktiviti seni dan kraf tangan, muzik, terapi, drama dan pelbagai lagi aktiviti yang dapat menjana kreativiti kanak-kanak autisme itu.

Menerusi pendedahan aktiviti-aktiviti tersebut, setiap kanak-kanak itu dapat menyerlahkan bakat dan kecenderungan mereka terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, ia membantu ibu bapa mengenal pasti keistimewaan anak-anak mereka.

"Ini merupakan tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan semua organisasi dan Drypers sendiri memilih NASOM sebagai benefisiari tunggal berdasarkan keperluan persatuan tersebut untuk berkembang.


OMAR GHANI (tengah) menjadi anak kebanggaan Terry Ghani (kiri) dan Rohani Jelani.


"Menerusi pembangunan pusat ini, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme juga menerima faedah daripadanya. Sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa masih ada kumpulan yang sedar akan kepentingan masa depan anak-anak mereka," ujar Pengurus Pemasaran Kanan SCA Hygiene Marketing (M) Sdn. Bhd., Evelyn Chan.

Pada perasmian kerjasama itu, wakil Drypers telah ditunjukkan karya seni kanak-kanak autisme yang menghasilkan lukisan mengikut tema Drypers, Family Togetherness.

Setiap kanak-kanak itu diminta menterjemahkan definisi keluarga pada mereka dalam bentuk lukisan. Ramai tetamu acara yang tersentuh hati apabila melihat hasil kreatif kanak-kanak tersebut yang benar-benar di luar jangkaan.

Sesungguhnya, label 'lembab' atau 'bodoh' terhadap kanak-kanak autisme tidak boleh diguna pakai langsung kerana majoriti daripada mereka begitu menyerlah dalam bidang kreatif.


BAKAT kanak-kanak autisme akan lebih menyerlah jika didedahkan dengan seni kreatif.


Lukisan-lukisan yang dihasilkan mereka menjadi bukti bahawa mereka masih mampu mendengar arahan dan memahami erti kata keluarga itu.

Gambaran keluarga bahagia menghiasi semua kertas lukisan kanak-kanak itu dengan ibu bapa menjadi teraju utama erti keluarga buat mereka. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa karya mereka adalah setanding dengan kanak-kanak normal lain.

Bermula tahun hadapan, berdasarkan perancangan jangka panjang Drypers dan Nasom, kolaborasi kedua-dua entiti itu bakal menyaksikan penganjuran bengkel jelajah seni dan kraf tangan serta ceramah pendidikan mengenai topik penglibatan keluarga dalam kehidupan kanak-kanak autisme.

Namun, sebelum jelajah itu dilaksanakan, Drypers dan NASOM akan mengadakan acara pungutan derma terlebih dahulu pada November ini bagi kelancaran program tersebut.

Ceramah pendidikan itu akan diadakan di tiga buah lokasi berbeza bagi memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia mempelajari dan memahami maksud sebenar autisme.

Selain itu, walkaton sempena Hari Autisme Sedunia juga akan dilaksanakan pada April 2012. Ia diikuti dengan penganjuran konsert yang menampilkan bakat kanak-kanak autisme dalam bidang nyanyian termasuk kumpulan koir autisme pertama di Malaysia, NASOM Maestros, yang dijadualkan pada Mei tahun depan.

"NASOM amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Drypers kerana bantuan serta sumbangan yang diberikan amat bermakna buat persatuan ini khususnya kanak-kanak autisme ini.

"Aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang tahun depan juga dapat dijadikan platform buat ibu bapa dan orang ramai menyelami dunia pesakit autisme dengan lebih dekat," jelas Pengerusi NASOM, Teh Beng Choon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: