Tuesday, October 4, 2011

Pujian yang suami idamkan

JANGAN ingat isteri saja yang suka dipuji, suami pun sama juga. Pujian boleh dilahirkan dengan bermacam-macam cara dan bukan sekadar lisan semata-mata.

Yang lazim didengar ialah pujian berbentuk ungkapan seperti “terima kasih”, “awak nampak hebat” dan seumpamanya.

Islam juga menggalakkan kita memberikan kata-kata manis kepada insan yang tersayang dan ganjarannya adalah seumpama memberi sedekah.

Sudah tentu lebih mengujakan apabila si isteri melahirkan rasa kagum terhadap kehebatan suami.

Selain itu, kata-kata semangat dan kata-kata manis seperti memberitahu tentang kebaikan yang baru saja dibuatnya, pasti memberikan satu perasaan tenang, bangga dan gembira pada si suami.

Bagi para isteri yang agak ‘berat mulut’ untuk memuji suami, jangan teruskan sikap tersebut.

Ambil inisiatif untuk memecah ego dan akukan sesuatu yang pastinya tidak merugikan.

Lagi pun, apa salahnya memberikan penghargaan kepada orang yang anda kasihi dan cintai.

Ingin tahu apa pujian yang pasti membuat suami berbunga-bunga? Berikut lima jenis pujian yang mahu didengar suami anda, cubalah!

“Abang memang boleh buat!”

Suami memang suka dipuji dalam hal yang berkaitan dengan bakat mereka. Terutama apabila mereka berjaya menyiapkan sesuatu tugasan atau berjaya dalam tugas kecil seperti membetulkan paip rosak atau sinki tersumbat.

Apatah lagi jika suami berusaha melakukan sesuatu yang istimewa untuk anda seperti memasak di hari ulang tahun.

Jadi ucapkanlah kata-kata pujian dan penghargaan untuk menambah keterujaan pasangan anda.

“Awak membuatkan saya rasa sungguh selamat...”

Suami akan berasa sungguh terhormat apabila dia dapat memberikan perlindungan kepada orang yang dicintainya. Memang menjadi lumrah kaum Adam sejak azali lagi melindungi wanita sehingga ada yang sanggup mati demi kekasih yang dicintainya.

Jadi, biarkan si suami tahu pengorbanannya benar-benar dihargai dan bererti bagi anda.

“Sayang, saya suka begini...”

Tengok suami anda jenis yang macam mana. Kalau mendapat suami yang semula jadi bersikap romantis anda memang beruntung. Tetapi jika suami kurang romantis anda masih boleh membuatkan dia menjadi romantis dengan anda.

Suami yang serius tidak bermakna dia langsung tidak romantis. Adakalanya dia akan bersikap romantis dan inilah masanya bagi isteri untuk membalas romantis tersebut dengan ungkapan: “Sayang, saya suka begini.”

“Abang ada keluarga yang sangat baik dan kawan-kawan yang begitu menghormati saya”

Agak pelik untuk meluahkan perkara ini tapi ia memang penting sebenarnya.

Secara psikologi menunjukkan rasa simpati atau kasih sayang terhadap keluarga suami adalah satu perkara yang amat membuatkan suami bahagia.

Tindakan anda itu membuatkan suami tahu yang anda menerimanya seadanya. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Kepandaian anda bercampur dan menghormati rakan suami membuatkan suami bangga dan dia pasti tidak perlu mencari alasan untuk tidak mengajak anda ke majlis perjumpaan semula teman lama sekolah atau universiti.

Bukankah ini satu perkara yang baik, jadi luahkan bahawa anda sangat menyenangi keluarga dan rakan-rakan suami anda.

“Apa yang saya boleh buat tanpa awak?”

Teringat lirik lagu Trisha Yearwood, How do i. Suami memang ingin selalu rasa diperlukan. Mengapa? sebab dia sanggup membela anda bersungguh-sungguh pada hal yang menyakiti anda di pejabat atau apa saja.

Nah, inilah masanya anda membalas tindakan suami dengan menyatakan kepadanya kalimah “Sayang, apa yang saya boleh buat tanpa abang?” memang ia akan menampakkan anda lemah di hadapannya. Lakukan ungkapan tersebut secara penghargaan lisan sekali gus ungkapan terima kasih yang tulus ikhlas kerana kesudiannya menjadi teman hidup anda suka dan duka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: