
TAHUN ini Malam Puisi Utusan cukup istimewa apabila buat pertama kalinya Kumpulan Utusan mengambil keputusan untuk menganjurkannya di luar Kuala Lumpur sejak 15 tahun lalu ia diadakan.
Ini terbukti apabila Malam Puisi Utusan 2011 yang diadakan di pentas terbuka pusat beli-belah Mydin MITC Ayer Keroh Melaka malam Rabu lalu, cukup meriah dan menggambit kehadiran lebih daripada 3,000 orang yang datang dari setiap pelosok negeri ini.
Rata-rata yang hadir bukan sahaja di kalangan pencinta seni dan sastera dari sekitar Melaka tetapi juga ada yang datang dari Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bahru.
Malam puisi itu mendapat sambutan di luar dugaan walaupun ia diadakan pada hari biasa dan bukan hujung minggu seperti lazim berlangsung di Kuala Lumpur sebelum ini.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat menyaksikan malam puisi itu memberi nafas baru dan mengangkat martabat seni sastera untuk dikembangkan bukan sahaja di Melaka tetapi juga di negeri-negeri lain.
Malam Puisi Utusan mendapat kerjasama ExxonMobil, kerajaan negeri Melaka, Mydin Holdings, Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) dan Astro yang menjadi rakan penyiar rasmi.
Di hadapan tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, orang ramai yang hadir cukup terhibur dan menghayati puisi-puisi yang dideklamasi oleh enam penyair terkemuka tanah air diketuai oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala.
Sejak pukul 7 malam lagi, orang ramai sudah berkumpul di sekitar pentas terbuka Mydin sebelum penyair terkenal, Shukri Abdullah membuka tirai Malam Puisi Utusan pada pukul 8.45 dengan puisi Memerdekakan Bahasa sebelum disusuli Masli N.O mendeklamasikan puisi Di Negeri Sendiri.
Penyampai radio Suria FM, Linda Onn turut memeriahkan malam tersebut sebagai pengacara.
Hadir sama ialah Ketua 1 Penama, Datuk Othman Mohamad, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali, Timbalan Ketua Pengarang, Othman Mohamad dan Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Kemunculan Khalid Salleh yang mendeklamasi puisi Kenapa Ada Hindraf membuatkan penonton terpaku seketika. Acara terus disegarkan dengan suara lantang Dr. Lim Swee Tin semasa mendeklamasi puisi Api Zionis dengan penuh bersemangat.
Lebih mencuri perhatian dengan persembahan bersahaja penyanyi lagu dikir barat, Halim Yazid menampilkan dua lagu dikir barat Aku Hanya Nak Ke Seberang karya Hashim Yaacob dan Anak Tupai.
Sebaik Halim selesai menyanyi beliau mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Puisi Surat Wasiat dan Puisi Violet yang dideklamasikan oleh Kemala mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Turut mencuri perhatian pada malam tersebut adalah deklamasi puisi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin.
Mohd. Ali mendeklamasi puisi hasil nukilannya, Tanah Air Ku Gemilang, Mohamed Hashim pula dengan puisi Negeri Ini Anak dan Ameer dengan puisi Perjalanan Sebuah Empayar.
Kehadiran artis terkenal tanah air turut memeriahkan malam puisi tersebut yang sememangnya dinanti-nantikan oleh orang ramai yang memenuhi ruang di situ.
Penyanyi Datuk Sharifah Aini paling mencuri perhatian apabila penonton tidak berganjak dari kerusi semata-mata ingin melihat penyanyi kesayangan mereka bukan sahaja menyanyi tetapi turut mendeklamasi puisi.
Puisi bertajuk Tanjung Puteri dipersembahkan oleh Sharifah Aini sambil diiringi pemuzik daripada Kumpulan Briged Seni Melaka sebelum disusuli sebuah lagu ghazal.
Johan Akademi Fantasian musim kesembilan, Hazama turut memeriahkan malam tersebut dengan nyanyian dua buah lagu Juwita dan Cinta Terapung manakala Kopratasa dengan lagu hitsnya Permata (Buat Isteri).
Bagi aktres jelita Rozita Che Wan pula mendeklamasi puisi Tak Dapat Ku Lupakan, hasil nukilan Anis Sabirin.
Tidak kurang hebatnya apabila insan istimewa Noor Muha Aziz, 31, disebalik cacat penglihatan dan kaki tetapi mencuri perhatian dengan puisi Ngauman Mereka Yang Kurang dan penyair dari Melaka, S.Gunasegaran menampilkan puisi Inilah Bumi Kita Tercinta.
Penama pula turut menampilkan dua penyairnya Fairuzan Ab. Majid dan Ahmad Zauawi Che Sob.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: