LEBIH daripada 90 buah negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Australia, dan United Kingdom menggunakan teknologi e-passport.
Biarpun telah lama teknologi tersebut digunakan, namun sesetengah negara masih menggunakan kaedah konvensional.
Teknologi e-passport telah dibuktikan selamat serta memiliki tahap perlindungan data yang tinggi.
Kini ditambah dengan cabaran serta peningkatan penggunaan e-passport yang lebih mudah di kawasan sempadan alatan baru bagi menampung penggunaan sistem tersebut amat diperlukan.
Pradotec kini hadir bersama pengimbas terminal e-passport mudah alih yang dikenali sebagai HTP600 dengan kerjasama Intel Malaysia menggunakan teknologi pemproses Intel Atom.
Lebih membanggakan, HPT600 merupakan rekaan serta inovasi tempatan yang dilihat mampu membantu memenuhi keperluan kerajaan.
Ketua Eksekutif Kumpulan PRADOTEC, Peter Choong berkata, HPT600 dijana oleh kuasa pemproses Intel Atom Z510 mampu melakukan banyak tugasan selain mengimbas e-passport semata-mata.
"Penggunaan HPT600 juga dilihat amat membantu mempercepatkan pemeriksaan ke atas pemilik e-passport."
"Malah kerjasama melalui Intel Malaysia juga turut banyak membantu PPRADOTEC membina HPT600 yang menepati kehendak serta piawaian antarabangsa," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran gajet tersebut di Putrajaya, Selangor baru-baru ini.
Direka dalam bentuk yang padat, HPT600 merupakan alatan semua dalam satu (all-in-one) mampu mengimbas e-passport yang mana tidak dapat dicapai oleh operator di kaunter.
Selain itu, ia juga merupakan pengimbas serba guna yang mampu mengesan cap jari dan mampu menghantar data yang diimbas ke komputer utama melalui komunikasi tanpa wayar seperti 'quad-band GSM, GPRS, EDGE, 802.11 b/g dan Bluetooth.
HPT600 juga memenuhi kehendak standart International Civil Aviation (ICAO) dalam dokumen bergerak kategori Machine Readable Zone (MRZ).
Selain itu, ia juga menyokong pemprosesan yang disyorkan oleh ICAO seperti Basic Access Control (BAC), Extended Access Control (EAC), Active Authentication (AA) dan Secure Object Data (SOD) yang diperlukan oleh kebanyakan negara.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali menjelaskan HPT600 menunjukkan keupayaan ciptaan anak tempatan juga mampu menyaingi teknologi yang terdapat di negara-negara maju yang lain.
"Teknologi HPT600 ini merupakan salah satu peluang kepada anak tempatan untuk bersaing dengan pencipta teknologi dari luar dan produk ini dilihat mampu menembusi pasaran di peringkat global," ujarnya.
Dalam pada itu, PRADOTEC merupakan sebuah syarikat khas yang menerajui bidang rekaan serta pembangunan produk terutamanya produk keselamatan, pengenalan, pembayaran serta pengesahan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan produk HPT600 anda boleh melayari laman web PRADOTEC di alamat www.pradotec.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: