Thursday, October 20, 2011

Penerus legasi perkahwinan tradisional


Andak dengan pelbagai fesyen pakaian pengantin tradisional dan klasik yang masih dimilikinya.


TEMA Inggeris, perkahwinan dalam taman, ala Arab atau apa jua sekalipun tidak sesekali boleh menandingi kemegahan perkahwinan tradisional Melayu.

Sebagai orang Melayu jati dirinya tetap serasi dengan perkahwinan berasaskan Melayu. Untuk meneruskan legasi itu, perunding perkahwinan, Raja Abdul Rahim Raja Hussin atau lebih mesra panggilan Andak memastikan agar tradisi itu tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Tapi percayakah anda bahawa ramai juga pengantin dari luar negara yang teringin menikmati persandingan seperti orang Melayu? Demi merealisasikan impian itu Andaklah yang mereka tuju.

Bagi penduduk Melaka, nama Andak Bridal memang tidak asing lagi dalam pengurusan perkahwinan tradisional. Justeru sebagai negeri yang menjadi tumpuan para pelancong luar negara mereka turut mengenali Andak sebagai penerus legasi perkahwinan klasik dan tradisional.

Dengan lebih 32 tahun pengalaman dan ditambahkan pula dengan bakat, kreativiti dan semangat untuk memperjuangkan seni pakaian lama, Andak menongkah arus tatkala begitu ramai pengantin yang mahukan tema berbeza di majlis perkahwinan mereka.

"Setiap atur cara perkahwinan yang diuruskan lebih menekan bajet, konsep tradisonal serta kemampuan pihak pengantin, maka boleh dikatakan atas faktor itulah kebanyakan majlis perkahwinan yang saya anjurkan mendapat liputan dari pihak media elektronik dan cetak.

"Lebih menarik kerana saya menyimpan banyak koleksi busana lama yang berusia antara 25 hingga 60 tahun. Malah kebanyakan fabrik seperti itu sukar ditemui kini. Antara yang masih dalam simpanan saya ialah songket Terengganu, satin Cina, kasa Rubiah dan kasa Maimun serta baldu," jelasnya yang juga berkemahiran di dalam atur cara dan perjalanan majlis secara moden.

Tambah menguntungkan Andak apabila butik pengantinnya mendapat sokongan daripada Majlis Amanah Rakyat Melaka, bahagian promosi pelancongan Melaka serta Tourism Malaysia.

Andak secara peribadi berpendapat majlis perkahwinan boleh menggamit pelancong datang ke Melaka.

"Melaka adalah bandar warisan, kerana itulah setiap apa yang dilakukan di negeri ini perlu menitikberatkan budaya, keunikan serta melambangkan bangsa kita, salah satu saluran yang paling sesuai dan berkesan ialah dalam majlis perkahwinan.

"Dari situ pelancong boleh menilai dan sekali gus mengagumi keindahan budaya masyarakat Melayu," ujarnya.

Uniknya pengantin yang menjadi pelanggan Andak Event juga bukan terhad kepada penduduk tempatan malah pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara.

Ada juga pelanggan terdiri dari pelajar tempatan yang berkahwin dengan orang luar negara seperti daripada Kanada, London, New Zealand, Algeria dan Yaman.

Menurut Andak, dengan cara itu dapat mempromosikan tempat-tempat bersejarah d negeri Melaka. Andak juga sering mencadangkan bakal pengantinnya memakai sanggul lintang Melaka kerana mempunyai keunikan tersendiri, penuh tertib dan sopan.

"Sebagai jururunding perkahwinan jangan hanya menekankan kepada keuntungan atau kemeriahannya kerana yang lebih utama ialah nilai yang dibawa menerusi perkahwinan tersebut. Tidak dinafikan perkahwinan adalah sebagai duta kecil bagi mempertahankan ciri-ciri tradisional Melayu itu sendiri," ujar Andak.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menghubungi Andak Event boleh menghubungil 013-6384099.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: