Wednesday, October 19, 2011

Nicki, patung ‘Barbie kulit hitam’

NICKI...imej patung mainan Barbie yang menjadi pujaan kanak-kanak.
NICKI...imej patung mainan Barbie yang menjadi pujaan kanak-kanak.

TIBA-TIBA saja nama ‘rapper’ wanita ini menjadi sebutan. Semuanya gara-gara imej dan lagunya, Super Bass mendapat perhatian penggemar muzik di Barat.

Kalau Lady Gaga artis berkulit putih yang sinonim dengan gaya solekan yang pelik-pelik, dia pula penyanyi kulit hitam yang membawa imej patung mainan Barbie. Orangnya bernama Nicki Minaj, wanita kacukan India dan Afrika.

  • Foto

    BERANI...Nicki suka bermain dengan rona terang.

  • Foto

    SUPERSTAR BARU...Nicki turut digilai ramai peminat muda.

  • Foto

    SUPERSTAR BARU...Nicki turut digilai ramai peminat muda.

  • Foto

    SUPERSTAR BARU...Nicki turut digilai ramai peminat muda.

  • Foto

    SUPERSTAR BARU...Nicki turut digilai ramai peminat muda.

Lihat saja koleksi gambar di sini. Dengan rambut pelbagai warna, ia sudah cukup membuatkan Nicki, 27, tampak berani dalam soal fesyen.

Ada sesetengah pihak menganggap Nicki Minaj cuba meniru Lil Kim, kuat membuat gimik dan seorang artis yang palsu.


Namun ia tidak pernah mematahkan semangat Nicki untuk meneruskan impiannya agar dikenali ramai peminat seperti mana Mariah Carey.


Pemilik nama sebenar, Onika Tanya Maraj ini menyifatkan warna kulit bukan lagi faktor penghalang untuk mengembangkan kerjayanya. Hakikat ini kerana orang pada zaman ini semakin telus dan bijak menilai seseorang artis itu bukan kerana warna kulit.

Pada peringkat awal dulu, Nicki selalu mengiringi penyanyi rap lain di pentas. Antara kerjasama Nicki dengan Guci Mane menerusi lagu Slumber Party. Ia berjaya mengangkat namanya sebagai penyanyi rap wanita.

Namun Nicki benar-benar berada di puncak kejayaan pada 2009. Selepas membuat beberapa persembahan yang mengagumkan, akhirnya dia dilamar syarikat rakaman Young Money Entertainment untuk dijadikan artis mereka. Lalu dia berkolaborasi dengan dua nama besar dalam industri nyanyian iaitu Kanye West dan Rihanna.

Pada 19 November tahun lalu, barulah Nicki melancarkan album penuhnya, Pink Friday yang semakin melonjakkan namanya sehingga sibuk membuat promosi di sana sini. Selain itu, dia juga menjadi ‘rapper’ wanita pertama yang tujuh lagunya berjaya masuk ke Carta Top 100 Billboard.

“Sebelum saya melancarkan album lagi, saya sudah ada ‘single’ pertama iaitu Massive Attack yang mendapat sambutan positif dari seluruh dunia. Kemudian, saya menghasilkan pula ‘single’ kedua berjudul Your Love.

“Lagu itu dihasilkan untuk membuktikan saya mampu menyanyi dan pada masa sama membuat ‘rapping’. Ia menjadi salah satu lagu terbaik dalam Top 100 Carta Billboard. Saya sangat bersyukur.

“Pada 2010 iaitu selepas sebulan album pertama saya dilancarkan, saya menjadi ‘rapper’ wanita pertama yang tujuh lagu berjaya disenaraikan dalam Carta Billboard,” katanya.

Pada minggu pertama Pink Friday berada di pasaran, hasil jualan sudah mencecah 350,000 unit. Ini membuktikan aura Nicki semakin kuat dalam industri hiburan dan dia tidak mengambil masa yang lama untuk mengukuhkan namanya.

Malah ketika mengadakan siri jelajah bagi mempromosikan album Pink Friday, peminatnya sanggup berkhemah di luar hotel tempat dia menginap semata-mata menunggu peluang untuk melihat sendiri wajahnya itu.

“Dulu, saya memang mahukan kemasyhuran tapi apabila saya sudah merasainya, ia tidaklah begitu seronok. Seperti orang lain, saya masih ada kehidupan peribadi yang perlu saya simpan daripada pengetahuan umum. Walaupun saya semakin dikenali tapi tidak semua perkara saya mahu kongsi dengan semua orang,” katanya.

Mengakui dia ada beberapa ‘identiti diri’, salah satu identiti Nicki adalah Roman Zolanski yang menurutnya, ‘adik kembarnya’ yang menyanyi bersamanya untuk beberapa lagu dalam album Pink Friday. Terbaru, Nicki memberikan kenyataan bahawa dia mencipta dua lagi identiti diri iaitu Nicki Teresa dan Rrrosa (Rosa).

Bagaimanapun, perkara ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam industri seni kerana kepelbagaian peribadi ini sering dilakukan beberapa penyanyi di Amerika Syarikat seperti Beyonce Knowles, Rihanna dan Lady Gaga. Penyanyi rap terkenal, Eminem turut bersetuju mereka mempunyai identiti tersendiri bagi menyokong persembahan mereka di atas pentas.

Sebagai seorang penggiat seni, Nicki dikenali sebagai seorang penyanyi yang mampu menghasilkan pelbagai suara. Kemampuannya melakukan ‘raping’ juga sangat baik ketika menyanyi. Dalam satu lagu, Nicki mampu menghasilkan lima atau enam suara berbeza.

Di sebalik kejayaan yang dikecapinya kini, tiada siapa menyangka kehidupan Nicki sebelum bergelar penyanyi sangat menyedihkan. Zaman kanak-kanaknya tidak seperti orang lain yang penuh dengan gelak tawa dan kasih sayang daripada ibu bapa. Pada usia lima tahun, Nicki terpaksa berdepan dengan keadaan keluarga yang kucar-kacir.

Ibu bapanya sering bertengkar dan satu-satunya cara Nicki menghilangkan tekanan yang dihadapinya adalah dengan mencipta karakter baru dan berfantasi bahawa karakter itu tidak seperti dirinya.

Mencari ketenangan diri, Cookies adalah identiti dirinya selama beberapa tahun sebelum beralih menjadi Harajuku Barbie dan seterusnya identiti terkini, Nicki Minaj.

Ayah Nicki seorang penagih dadah dan sering meminta wang daripada ibunya bagi memuaskan ketagihannya itu. Detik cemas melanda Nicki dan ibunya apabila ayahnya cuba membakar rumah mereka. Ketika itu, Nicki dan ibunya sedang berada di dalam rumah itu.

Selepas terselamat daripada kejadian itu, ibu Nicki terpaksa menjadi ketua keluarga sehingga dia habis persekolahan di LaGuardia High School, sebuah sekolah berprestij dalam bidang lakonan.

“Kehidupan masa lalu saya sangat menyedihkan. Saya terpaksa membantu ibu saya dengan melakukan pekerjaan yang tidak saya sukai. Selepas selesai bekerja, pada sebelah malam saya akan mengenakan pakaian yang cantik dengan harapan
mereka akan melihat bakat saya.

“Pada sebelah malam, saya adalah artis tapi apabila siang, saya adalah seorang ‘hamba’. Apabila mengenang masa lalu, saya mahu cakap sesuatu pada mereka yang pernah menjadikan hidup saya umpama dalam neraka, “Adakah kamu melihat saya sekarang ini? Ini adalah hasil cacian kamu!” katanya.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Onika Tanya Maraj
TARIKH LAHIR: 8 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Saint James, Trinidad & Tobaggo
PEKERJAAN: Rapper dan penulis lagu
ANUGERAH: Penyanyi Hip-Hop Wanita Terbaik (2008 - Anugerah BET), Penyanyi Baru Terbaik (2008 - Anugerah BET), Anugerah People’s Champ (2010 - Anugerah Hip Hop BET), Klip Video Terbaik (2011 - Anugerah UK Asian Music), Klip Video Rap Terbaik (2011 - Anugerah MTV Video Music)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: