Saturday, October 15, 2011

Nafi kahwin lelaki Kelantan



MASIH solo! Status itu yang digenggam erat Zuliana Abdul Aziz atau nama komersialnya Jue Aziz, 28. Biar beberapa kali diusik sama ada kini sudah bergelar isteri orang, Jue setegas-tegasnya menafikan dakwaan itu.

Katanya: "Sudah lama saya single dan sampai ke saat ini saya masih lagi single, tiada apa yang perlu dihurai lanjut."

Bertebar tawa Jue menerobos ruang atmosfera lokasi temu bual di Kellie's Castle, Batu Gajah, Ipoh Perak itu tat- kala ditebak soalan itu. Malah ujarnya lagi, segala cerita itu nyata sekali direka-reka.

"Sudah tentu tidak betul sama sekali, saya tak faham macam mana orang dapat cerita itu, memang benar tiada sesiapa lagi di hati saya," tutur Jue ketika ditemui di lokasi penggambaran Nilapura, drama terbaharu lakonannya itu.

Menjawab lagi asakan yang diberikan tentang kebenaran akan gosip yang bertebar baru-baru ini ditambah pula secara tiba-tiba menghilangkan diri, Jue akui sering berulang-alik ke sebuah negeri di Pantai Timur sepanjang tempoh kehilangan itu.

"Saya ada rapat dengan sebuah keluarga dari Kelantan yang kini sedang menetap di Terengganu, itu keluarga angkat saya yang saya baru kenal awal tahun ini. Tujuan ke sana untuk merasai suasana kampung memandangkan kampung saya cuma di Kuala Lumpur.

"Mungkin jiran-jiran di sana yang tidak tahu akan kebenaran hal ini yang bercerita, mungkin ini cuma desas-desus, tidak betul sama sekali.

"Kalau benar saya sudah kahwin boleh semak sendiri di Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), sebab kalau saya tipu mesti sudah ada rekod saya ini isteri orang," hurai pelakon drama Janji Kekasih itu.

Berkahwin dan mempunyai anak-anak menjadi impian Jue paling agung. Tambahnya, detik bahagia bergelar seorang isteri bukan untuk disembunyikan daripada pengetahuan umum.


JUE menyarankan pihak yang mendakwa dirinya sudah berkahwin supaya mencari bukti kukuh terhadap dakwaan tidak benar terhadap dirinya itu.


"Buat apa ada kebahagiaan kalau tidak diceritakan dengan semua orang, kalau bercinta patut dikongsi-kongsi bersama.

"Lagipun, itu impian Jue, berumah tangga dan mempunyai anak-anak, dan saya sudah bersedia sekarang" ungkap si manis bersuara besar itu.

Sengaja mendiamkan diri, katanya, sepanjang kehilangannya sebelum ini tiada apa yang perlu dikhabarkan. Hanya melalui hari-hari biasa bersama keluarga tercinta.

"Memang hampir setahun saya memang mendiamkan diri, sebab dirasakan tidak ada benda yang penting untuk dikongsi dengan peminat, lagipun tidak adil pula saya asyik bercerita hal yang sama," katanya.

Tutup buku lama, selak lembaran baru. Keinginan itu yang kini disemat dalam kalbu seorang Jue Aziz. Biarkan segala kisah silam berlalu pergi dan segala cerita tidak enak didengar itu bersemadi.

"Cukup pasal perkara-perkara lama, peminat pun sudah tahu siapa saya dan itu perubahan paling besar saya," luahnya mengutus senyum.

Jejaka idaman

Begitu juga dengan kisah cintanya, enggan lagi dikaitkan dengan mana-mana artis, Jue bagaimanapun masih jua berpegang pada prinsip takdir hidup penentu segalanya.

"Seboleh-bolehnya saya tak nak lagi bercinta dengan artis, tapi perkara itu tidak boleh saya elak seandainya sudah takdir saya.

"Saya tahu pahit getir bercinta sesama artis, kalau ada peminat yang tidak faham pula mungkin akan mendoakan yang buruk-buruk, itu yang seboleh-bolehnya saya mahu elak," perlahan intonasinya dibawa bayu di sebalik rekahan dinding Kellie's Castle yang dibina pada tahun 1915 itu.

Namun, itu bayaran yang perlu Jue terima. Bergelar public figure yang pastinya setiap inci akan diintai, setiap lapis akan diselak masyarakat.

Pasrah dengan ketentuan yang telah ditetapkan Ilahi, Jue kini sudah punyai ketetapan buat sang arjuna yang ingin menyunting lubuk hatinya.


SELAIN Jue dan Amar, Nilapura turut dibintangi Ryzal Ahmad.


"Lelaki itu mestilah hormat orang tua, pandai jaga hati keluarga. Memang saya pentingkan prinsip kekeluargaan. Ibarat bila bercinta dengan saya, dia mesti bercinta dengan keluarga saya.

"Dalam masa yang sama dia mestilah penyayang, mengambil berat, bertanggungjawab dan menjadi peneman setia. Maknanya saya boleh anggap dia seperti kawan baik saya, ayah saya mahupun abang saya," bicara gadis genit itu yang mengimpikan hubungan saling memahami antara satu sama lain.

Puteri Ratna Emas Lela

Jue kini masih terlibat dalam proses penggambaran drama terbaharu berjudul Nilapura yang bakal disiarkan pada 31 Oktober ini di slot Aksi TV3.

Menceritakan peranan yang dibawa dalam drama itu, Jue memegang watak Puteri Ratna Emas Lela yang merupakan puteri bongsu Raja Bumida Bimasakti yang berjiwa rakyat dan gemarkan kerja amal.

"Dalam drama ini, saya akan mengorbankan cinta demi kasih sayang terhadap negara saya, Bimasakti dan terpaksa berkahwin atas dasar diplomatik antara negara saya dan Nilapura," singkapnya mengenai watak utama yang dibawa dalam drama bercorak epik itu.

Selain Jue, Nilapura juga membariskan pelakon hebat tanah air antaranya Ryzal Jaafar, Amar Asyraf, Memey Suhaiza, Ramli Hassan, Zarina Zainuddin, Rosnah Johari, Razib Salimin, Adam Shah, Hilal Azman dan Ramona Zam Zam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: