Ahmad Razlan yakin Litar Antarabangsa Sepang tahun ini akan mencatat kehadiran penonton yang lebih ramai berbanding tahun lalu. LEBIH kurang seminggu lagi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal dipenuhi pelumba-pelumba motosikal terbaik dunia dan seluruh peminat sukan permotoran tanah air apabila perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Shell Advance Malaysia 2011 membuka tirainya dari 21 hingga 23 Oktober ini.
Perhatian sudah pasti tertumpu kepada pelumba Australia, Casey Stoner yang kini meraih 300 mata keseluruhan, mengatasi 40 mata daripada pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo (260 mata) manakala diikuti rapat oleh pelumba dari Itali Andrea Dovizioso yang kini mengumpul 196 mata.
Kehangatan perlumbaan edisi ke-21 ini juga bakal menjanjikan keistimewaan tersendiri dengan menyaksikan empat pelumba negara akan menggegarkan litar berbanding dua orang tahun lalu dalam kategori berasingan.
Pelumba 125cc, Muhammad Zulfahmi Khairuddin sekali lagi menjadi taruhan negara berdasarkan prestasi cemerlang musim ini yang akan diiringi pelumba wildcard, Muhammad Farid Badrul Hisham, manakala bagi kategori Moto2 dua pelumba yang berjaya meraih tiket sama disandarkan kepada Mohamad Zamri Baba dan Hafizh Syahrin Abdullah.
Farid, 18, kini beraksi penuh pada Kejohanan British Superbike 600cc MSS Colchester Kawasaki Racing Team turut mempamerkan kemahirannya di Silverstone dan Brand Hatch baru-baru ini. Dia bakal menunggang jentera Derbi di Sepang nanti di bawah pasukan Pasukan AirAsia-Sepang International Circuit Racing.
“Saya akui kurang pengalaman beraksi dalam kategori ini berbanding Fahmi yang telah dua tahun bersaing dalam MotoGP.
Stoner kini mendahului kedudukan semua pelumbaNamun itu tidak melemahkan saya kerana pengalaman berlumba dalam kelas 600c akan digunakan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Fahmi yang berlumba penuh dalam siri MotoGP tahun ini menyokong kehadiran Farid pada perlumbaan kali ini.
“Saya merasakan bahawa Farid adalah penunggang yang bagus dan pengumuman Farid sebagai wildcard tahun ini adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan pada MotoGP Malaysia tahun ini.
Penglibatannya boleh meringankan beban dan tekanan yang diletakkan di atas bahu saya untuk menggalas cabaran buat Malaysia di Sepang dan diharapkan kami dapat memberikan kegembiraan kepada buat peminat tanah air,” katanya baru-baru ini.
Persiapan litar
Aktiviti go kart turut disediakan kepada pengunjung sempena perlumbaan MotoGP Shell Advance Malaysia minggu depan. SIC secara langsung terus bertungkus-lumus melakukan persiapan trek terakhir menjelang perlumbaan ini. Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, SIC telah menutup penggunaan litar sejak minggu lepas bagi kerja-kerja menaik taraf dan kini sudah di peringkat akhir menyiapkan beberapa kemudahan yang ada dalam kawasan litar.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf juga dilakukan di selekoh keenam dan ketujuh mengikut spesifikasi yang dikehendaki oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).
“Pengubahsuaian ini adalah perkara biasa bagi kita sejak 13 tahun menganjurkan Grand Prix Motosikal di sini sini. Ia adalah litar khusus untuk perlumbaan Formula Satu,” katanya.
Selain itu kerja-kerja membaik pulih kerb turut dijalankan dengan pihak operasi trek juga bertanggungjawab mengecat kawasan di sekeliling trek.
Penjualan tiket
Ahmad Razlan berkata, selain persiapan trek dilakukan, pihaknya juga turut bekerja keras dalam mempromosikan tiket perlumbaan yang mana sehingga kini pihak SIC telah mencapai 50 peratus daripada penjualan tiket.
“Berdasarkan sambutan kita meletakkan sasaran untuk mencapai 110,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan dan daripada prestasi semasa penjualan tiket ini, saya yakin ia mampu dicapai.
“Tahun lalu seramai 105,000 penonton hadir memenuhi litar yang menyaksikan Jorge Lorenzo dinobatkan sebagai juara untuk kali pertama. Saya yakin tahun ini rekod itu akan berubah kerana pelbagai faktor.
Antaranya ialah dengan kemunculan empat pelumba Malaysia di Litar Sepang pada MotoGP yang menjadi tarikan utama peminat-peminat tempatan.
“Saya yakin kehadiran penonton akan mencecah 70,000 pada perlumbaan hari perlumbaan nanti. Sasaran ini juga amat realistik kerana Fahmi yang telah mempamerkan aksi terbaik pada perlumbaan sebelum ini,” katanya.
Untuk tidak ketinggalan menyaksikan perlumbaan hangat ini, peminat digalakkan membeli tiket sebelum hari perlumbaan.
Tiket bagi F Grandstand dan B Hillstand, tiket masih dijual bagi dua hari (Sabtu dan Ahad) untuk Main Grandstand berharga RM120, manakala bagi K1 Grandstand untuk dua hari, masing-masing berharga RM70 dan RM50.
Kaunter tiket SIC di litar kini dibuka tujuh hari seminggu manakala kaunter tiket turut dibuka di tempat tumpuan di sekitar Lembah Klang iaitu di KLCC, KL Sentral (Transit Concourse, Tingkat 1) dan Lot 10.
Tawaran istimewa
Selain itu bagi menghargai sokongan peminat, SIC turut mengadakan pelbagai aktiviti di litar dan setakat ini semua ruang pameran dan gerai sudah diambil dan begitu juga pakej hospitaliti.
Promosi hebat menanti pengunjung apabila Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang menawarkan promosi tempahan awal bagi hujung minggu pada perlumbaan ini yang merupakan saingan kedua terakhir daripada keseluruhan 17 siri perlumbaan MotoGP 2011 sebelum menutup tirai kalendarnya di Litar Valencia, Sepanyol pada 4 hingga 6 November ini.
Bagi setiap tempahan minimum 10 orang, dengan bayaran RM150 seorang, pengunjung berpeluang untuk mendapatkan tuala muka percuma dan baucar go-kart percuma.
Litar go-kart baru dan diperbaiki ini diilhamkan oleh pereka litar F1, Hermann Tilke, yang turut bertanggungjawab bagi reka bentuk trek utama Litar Antarabangsa Sepang yang siap dibina pada 1999.
Ia berukuran panjang 1.247 kilometer dengan lebar 10 meter, dengan 11 selekoh mencabar. Untuk pembelian tiket menerusi laman web sosial, facebook, anda layak untuk mendapat diskaun lima peratus dan peluang untuk memenangi wang eksklusif.
Peminat FaceBook akan mendapat peluang untuk memenangi sesi go-kart dengan pelumba MotoGP, pit lawatan berpandu eksklusif dan baju-T terhad MotoGP dan topi.
Kadar bayaran meletak kenderaan
SIC akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas yang mengelilingi kawasan letak kenderaan SIC, oleh itu pengunjung tidak perlu bimbang untuk berjalan jauh dari kawasan letak kenderaan ke trek. Perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma.
Perkhidmatan
Shuttle Sky Hari: 22-23 Oktober
Waktu operasi:
8 pagi (bas pertama) sehingga 7.30 ptg (bas terakhir)
Kekerapan: Setiap 15 minit
Pengangkutan awam
Sky Bus akan bertolak ke Litar Antarabangsa Sepang mulai 22 hingga 23 Oktober (Sabtu dan Ahad) daripada empat hentian iaitu KL Sentral, KLCC, KTMB Nilai, LCCT.
Kekerapan perkhidmatan Sky Bus adalah setiap 30 minit. Bas pertama akan bertolak pada 8 pagi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad manakala bas terakhir akan bertolak pukul 2 petang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Dari Litar Antarabangsa Sepang, Sky Bus akan memulakan perjalanan setiap 30 minit ke KL Sentral, KLCC, KTMB Nilai, LCCT mulai Sabtu dan Ahad.
Bas pertama akan bertolak pada 4 petang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad manakala bas terakhir akan bertolak pada 7.30 petang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Tiket boleh dibeli di Sri Petaling di talian 03-90584286 atau 03-90584286 dan Taman Tun Dr Ismail di talian 03-7725 1166 atau 03-7725 1166.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: