Thursday, October 6, 2011

Mon Amour wangian halal pertama

MON AMOUR dikategorikan sebagai eau de parfum (EDP) kerana mengandungi 15 hingga 20 peratus kandungan pati minyak wangi.


HARUMAN yang memukau pasti memberi aura kepada semangat, penampilan dan keyakinan diri si pemakai. Minyak wangi The One - Mon Amour keluaran syarikat haruman Perancis, Atelier Des Parfums Asia Pacific Sdn. Bhd. (Atelier Des Parfums) adalah antara wangian yang tidak mengecewakan anda.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Atelier Des Parfums, Hermann J. Portner berkata, minyak wangi Mon Amour dibangun dan dihasilkan oleh pakar minyak wangi ternama dari Perancis iaitu Olivier Funel.

“Kenapa tercari-cari minyak wangi lain apabila anda boleh memiliki Mon Amour sebagai minyak wangi? Mon Amour merupakan minyak wangi yang unggul diimport dari Perancis dan mendapat pengesahan halal,” katanya.

Mon Amour yang mula berada dipasaran pada bulan Jun 2011 lalu merupakan minyak wangi pertama dan satu-satunya yang telah mendapat pengesahan tanda halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami telah membawa pegawai Jakim ke Perancis bagi melihat sendiri proses Mon Amour dihasilkan agar menepati standard halal yang ditetapkan Jakim dan dituntut Islam.

“Kami serius untuk menghasilkan minyak wangi halal dan segala prosedur yang ditetapkan Jakim diikuti dan akhirnya syarikat kami berjaya mendapatkan sijil perakuan halal Jakim,” katanya yang turut mempunyai sebuah kilang di Shah Alam, Selangor.

“Atelier Des Parfums dijangka berada pada kedudukan yang kukuh di Asia Tenggara pada tahun 2013. Kami akan memasuki Indonesia, Thailand dan India mulai tahun hadapan,” ujar beliau.

Portner berkata demikian selepas majlis pelancaran minyak wangi halal pertamanya di pasaran tempatan, The One-Mon Amour di pejabat CNI, baru-baru ini.

Atelier Des Parfums bekerjasama dengan CNI Enterprise (M) Sdn. Bhd. (CNI) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran minyak wangi halal di rantau ini.

Portner berkata, Atelier Des Parfums dijangka melancarkan beberapa produk baharu lagi sebelum akhir tahun ini dan tahun hadapan.

“Kami menyasarkan 55 produk dipasarkan di Malaysia dan setakat ini 25 produk telah mendapat kelulusan Jakim,” jelasnya.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Pengedar CNI, Idril Idris berkata, Mon Amour dikategorikan sebagai eau de parfum (EDP) kerana mengandungi 15 hingga 20 peratus kandungan pati minyak wangi dan semburannya akan kekal bertahan antara enam hingga lapan jam.

“Selain itu, minyak wangi ini juga 100 peratus dihasilkan oleh Olivier Funel yang merupakan seorang pencipta minyak wangi terkenal berjenama seperti Bonia, Estee Lauder, Van Cleef & Arpels, Tommy Hilfiger, Cartier dan, Hermes,” katanya.

Keempat-empat pilihan wangian Mon Amour mempunyai nota haruman berbeza dan tersendiri antaranya MA 01 dengan sentuhan bau sitrus, MA 02 dengan aroma bunga dan rempah-ratus, MA 03 dengan nota bauan herba dan MA 04 menyatukan haruman buah-buahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: