SANGGUPKAH anda makan serangga, ulat, kumbang atau pun kala jengking? Atau pernahkah anda bayangkan masak lemak serangga, sambal tumis kala jengking dan cengkerik goreng kunyit? Meloyakan bukan? Malah pasti ramai beranggapan tindakan itu jelik dan menjijikkan serta hanya sesuai untuk golongan yang tidak bertamadun atau tinggal dalam hutan.
Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan ‘ternakan mikro’ itu menjadi sumber pemakanan baru jika stok makanan sedia ada atau konvensional mula berkurangan atau akibat bencana alam.
Selain diperkenalkan dalam pelbagai resepi baru, menjadi gantian kudapan untuk minum pagi dan petang, beberapa restoran dibuka khusus menyajikan makanan eksotik berkenaan, begitu juga hotel dan restoran bertaraf lima bintang menyediakan menu khas berasaskan serangga.
Sajian serangga juga kini dianggap makanan alaf baru sesuai dengan gaya hidup masa kini dunia yang mementingkan aspek kesihatan dan diet yang seimbang serta persekitaran lestari.
Bagi penggemar sajian serangga, mereka berasakan serangga bukan saja enak malah mengatasi udang, sotong dan ketam kerana ia rendah lemak, rendah kolesterol serta tinggi mineral, serta dua kali lebih protein berbanding daging dan ikan.
Penternak serangga seperti cengkerik, kala jengking, kumbang, labah-labah Tarantula di Thailand dan Australia dikatakan kini sedang giat mengembangkan perniagaan mereka berikutan permintaan yang meningkat daripada penggemar makanan eksotik ini.
Diakui sesetengah serangga mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit dan merosakkan tanaman, namun penternakan atau industri serangga ini sebenarnya mesra alam, selain ruang ternakan yang terhad, tiada pencemaran alam (kumbahan dan najis haiwan kurang), makanannya juga sedikit dan tiada kesan gas ke atas rumah hijau.
Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB menyatakan lebih daripada 1,400 spesies serangga dimakan oleh lebih 300 kumpulan etnik di 113 buah negara yang berkemungkinan boleh mewujudkan peluang perdagangan dan industri makanan, terutama di negara Dunia Ketiga.
Pakar di Brussels percaya serangga dan haiwan merayap yang ‘menyeramkan’ boleh menjadi satu sumber pemakanan yang bukan saja menyelesaikan masalah kekurangan makanan tetapi juga membantu menyelamatkan alam sekitar.
Malah, Profesor Marcel Dicke, yang mengetuai pasukan pakar Belanda itu dari Universiti Wageningen, dengan nada optimis meramalkan serangga, kumbang, cengkerik dan ulat ini bakal dijual di pasar raya utama.
“Menjelang 2020, anda dapat membeli serangga dipasar raya. Mungkin pada 2011 anda tidak akan terfikir mengenainya.
“Kita pernah melihat bagaimana satu masa dulu diperkenalkan terung, sushi, yang tidak pernah orang makan di sini. Saya fikir ia (serangga) akan mula diterima dan menjadi bahan dalam sos dan burger. Kisarkan saja serangga dan campur dalam makanan bagi membolehkan sajian menjadi lebih sedap,” katanya.
Beliau berkata, serangga secara biologinya boleh dianggap seperti kerang-kerangan dan serangga yang berterbangan ini ibarat ‘udang kara dari langit.’
“"Sumber protein sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk dunia yang semakin berkembang. Harga daging tetap akan melambung tinggi. Justeru, EU mesti memikirkan sesuatu dan melabur dalam keselamatan makanan termasuk menjadi alternatif seperti penternakan serangga ini.”
Namun, lain pula pandangan pakar entomologi kanan di Muzium Sejarah Semulajadi United Kingdom, Stuart Hine. Baginya, serangga masih tidak boleh menyelesaikan semua masalah kerana ia lebih mahal kerana kos gudang selain penyakit serangga boleh merebak dengan cepat.
“Ya, serangga hebat tetapi ia bukan penyelesaian muktamad bagi memenuhi keperluan makanan dunia,” katanya yang turut mengingatkan penggemar serangga supaya memasak serangga daripada makan mentah kerana lebih selamat.
Dipercayai ada enam juta spesis serangga yang wujud di bumi dan kira-kira 1,000 hingga 1,600 yang boleh dimakan dan berpotensi untuk dijadikan makanan.
Namun, jangan mudah mengutip semut atau kumbang di taman dan terus memakannya kerana tidak semua serangga selamat untuk dimakan kerana awas, ia boleh menjadi toksik.
Juadah serangga serata dunia
Ghana
Ketika musim hujan, sejenis anai-anai bersayap digoreng, dipanggang atau dijadikan sebahagian ramuan pembuatan roti.
Afrika Selatan
Serangga dimakan dengan bubur jagung, sesetengah ulat larva dan cengkerik menjadi ramuan dalam pembuatan roti.
Croatia
Sebuah restoran mesra alam, menjadikan cacing tanah sebagai bahan utama dalam menunya. Restoran terletak di wilayah Zadar itu mendakwa cacing itu mengandungi protein yang tinggi dan rendah lemak menjadikan makanan lebih bernutrisi. Antara sajian yang ditawarkan termasuk sup diperkayakan dengan cacing, cacing goreng dan kek keju cacing.
China
Kebanyakan serangga atau makanan eksotik lain digunakan sebagai ubat alternatif yang dikaitkan dengan kesuburan dan tenaga batin. Namun, cengkerik goreng banyak dijual sebagai snek di pasar malam dan gerai kaki lima kerana rasanya seperti udang bakar.
Jepun
Larva lalat akuatik ditumis bersama gula dan kicap manakala belalang dimasak bersama buah pala, dikenali sebagai inago, dijadikan snek koktail kegemaran ramai. Sementara itu, warga tua kawasan tanah tinggi Jepun percaya menikmati keropok tebuan dapat memanjang usia mereka.
Bali, Indonesia
Pepatung direbus di dalam santan dengan halia dan bawang putih sebagai makanan istimewa di Bali.
New Guinea dan Australia
Ulat pokok menjadi hidangan istimewa di New Guinea dan makanan kegemaran orang asli Australia.
Amerika Selatan
Masyarakat India di Amerika Latin menggemari riang-riang dan labah-labah Tarantula panggang manakala semut menjadi bahan untuk makanan tradisional mereka. Satu lagi makanan kegemaran ramai adalah cacing AGAVE dimakan bersama roti tortilla dan di Mexico ia diletakkan dalam minuman keras.
Britain
Sebuah restoran terkemuka Selfridges, Fortnum & Mason menyajikan serangga seperti lebah, cengkerik dan kumbang kini sebagai makanan ringan. Malah selebriti Heston Blumenthal menjadikan serangga sebagai bahan dalam masakan gaya Victoria.
New Zealand
Masyarakat orang asli Maori makan ulat larva yang dipanggang atau digoreng dan rasanya dikatakan menyamai ayam masak bersama keju
Amerika Syarikat
Sebuah restoran di Bristol dikenali sebagai Zulu Restoran menjadikan cengkerik dan lebah sebagai menu untuk kudapan. ada satu persatuan dikenali sebagai Bay Area Bug Eating Society, (BABES) yang mempromosikan makanan berasaskan serangga. Selain menggalakkan orang ramai makan serangga, persatuan ini menyediakan pelbagai resipi juadah yang berasaskan serangga seperti sandwich riang-riang, sup anak lebah dan spaghetti bersama ulat. Persatauan ini turut menerbitkan buku dan VCD cara meamsak serangga.
Vietnam, Kemboja dan Thailand
Belalang, labah-labah Tarantula, cengkerik, lipas dan kala jengking, menu biasa boleh dijumpa di kaki lima. Biasanya serangga itu digoreng sama ada dengan tepung, goreng cili, masak halia, disira dengan gula, cili atau madu. Menjadi kudapan dan makanan ringan yang boleh diperoleh setiap hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: