Sunday, October 9, 2011

Meningkatkan mutu hidup tentera


Suasana salah sebuah kedai di Kompleks Mutiara Pernama, Kem Syed Sirajuddin.


TERSOHOR sebagai rangkaian kedai runcit dalam kem-kem angkatan tentera di seluruh negara, tidak ramai yang mengetahui keuntungan peniagaan peruncitan syarikat Perwira Niaga Malaysia (Pernama ) dinikmati oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selaku syarikat perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), setiap keuntungan tahunan syarikat itu akan dikongsi bersama dengan seluruh anggota tentera terutamanya melalui program kebajikan,” ujar Pengurus Besar Pernama , Datuk Ab. Wahab Khalil.

Apatah lagi, dengan tawaran harga yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran khususnya bagi barangan keperluan harian, tiada sebab untuk anggota tentera tidak membeli segala keperluan di kedai runcit Pernama.

Pernama amat peka dan prihatin dalam memastikan mereka menawarkan harga yang terbaik atau murah supaya ia dapat dimanfaatkan oleh anggota tentera dan keluarga mereka.

“Kami menyediakan barangan runcit dan anggota tentera tidak perlu keluar dari kem. Pernama menawarkan perkhidmatan setanding dengan pasaran luar. Bahkan warga ATM dapat membeli barangan pada harga bersubsidi dan ada antaranya di bawah harga kos. Subsidi harga tahunan yang disediakan ialah RM 5 juta dan rangkaian barangan adalah terdiri daripada rangkaian barangan ruji seperti beras, minyak masak, tepung, mee segera, dam lain-lain.

“Namun Pernama terus mengekalkan operasi kedai yang tidak menguntungkan atas dasar tanggungjawab sosial dan kebajikan anggota dan keluarga tentera sahaja,” ujar Ab. Wahab ketika ditemui di Pernama , Bukit Raja, Klang, Selangor baru-baru ini.

Mengimbau sejarahnya, Ab. Wahab memberitahu, Pernama telah mengambil alih operasi perniagaan runcit daripada Navy, Army and Air Force Institute (NAAFI) sejak Julai 1983 dengan rangkaian 35 buah kedai ketika itu serta jumlah perolehan sebanyak RM60 juta.

Bermula daripada tarikh tersebut, Pernama melalui pelbagai perubahan termasuklah pada 2000, apabila ia mula menguasai semua aktiviti perniagaan di dalam kem-kem tentera seluruh negara.

Sejak itu aktiviti perniagaan syarikat mula berkembang dan ia berjaya menukar imejnya menjadi sebuah entiti perniagaan yang lebih berdaya saing.

aktiviti

Antara kejayaannya ialah membangunkan dua buah kompleks membeli belah yang lengkap dengan pelbagai aktiviti perniagaan lain seperti perkhidmatan dobi, menjahit, kedai runcit, pasar basah, medan selera dan pusat rekreasi.

Dua kompleks membeli belah itu terdapat di Kem Terendak, Melaka dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Pernama yang berjaya menyediakan prasarana untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat anggota tentera juga berjaya membangunkan 17 kompleks Lamaniaga, 72 kedai Pernama, 29 Medan Selera, 2 stesen minyak BHP, 22 Rakaniaga, memantau 139 kedai keluarga awam dan mengurus 561 lot-lot niaga dalam kem.

Sementara itu, Ab. Wahab memberitahu, bagi mempertingkatkan lagi kualiti hidup anggota di dalam kem, Pernama akan terus menaik taraf kedai Pernama sedia ada ke taraf kompleks perniagaan baru. Antara kompleks terkini yang telah dibina ialah Kompleks Mutiara Pernama di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dan sebuah lagi yang masih dalam perancangan di sekitar Kem Kementah, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, sebagai usaha meningkatkan lebih ramai usahawan di kalangan bekas tentera, mulai tahun 2010, Pernama telah melatih seramai 41 pesara tentera untuk mengambil alih pengurusan kedai 7-Eleven secara francais.

Dalam pada itu, melalui kerjasama dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), Pernama menawarkan koleksi bahan bacaan di rangkaian kedainya.

“Penjualan buku-buku tersebut bertujuan menggalakkan budaya membaca di

kalangan anggota tentera,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: