Monday, October 10, 2011

Memori hitam Vandyke di Libya


VANDYKE pernah berada di sel penjara bersaiz kecil ini yang turut menempatkan kemudahan sinki dan ruang mandi.


PEMBIKIN filem Amerika Syarikat (AS), Matthew Vandyke memandangkan atas dan ke bawah sel penjara Tripoli. Dia pernah meringkuk di dalam penjara berkenaan selepas ditahan oleh pengawal peribadi pemimpin Libya, Muammar Ghaddafi.

Sambil menarik nafas lega, Vandyke menyatakan: "Sekiranya Ghaddafi. tidak ditumbangkan, pasti saya tidak akan keluar dari penjara ini."

Bru-baru ini, Vandyke mengunjungi semula penjara Abu Salim yang berpangkalan di ibu kota Tripoli itu, dan beliau masih tidak percaya bahawa dia telah bebas. Pengalaman dipenjara bersama 76 banduan selama 161 hari masih segar di fikirannya.

"Saya fikir saya perlu berada di dalam penjara ini selama tiga dekad dan dikenakan hukuman," jelasnya sambil memberitahu bahawa dia berjaya melarikan diri dari penjara itu selepas pemberontak anti-Ghaddafi. menakluk Tripoli.

Merakam pertelingkahan

Pemuda berusia 32 tahun yang berasal dari bandar Baltimore, Maryland, AS itu tiba di Libya pada bulan Februari lalu yang kebetulan pada tempoh itu pemberontak mula menentang Ghaddafi.

Vandyke memberitahu, kedatangannya ke Libya bertujuan menghabiskan masa dengan kumpulan pemberontak, menyaksikan keadaan sekeliling dan merakamkan pertelingkahan mereka untuk dimasukkan ke dalam filemnya itu. Bukannya untuk bergaduh dengan rakyat setempat.

Malangnya, pada pertengahan bulan Mac lalu, Vandyke tidak sempat melarikan diri ketika berlakunya peperangan hab minyak di timur Brega.

"Kami jatuh ke tangan penyerang. Saya cedera di bahagian kepala. Sebaik saja tersedar, saya sudah berada di dalam penjara dan terdengar suara seorang lelaki menjerit kesakitan akibat diseksa," imbas Vandyke.


VANDYKE berdiri dan menunjukkan sel penjara dia dipenjarakan di penjara Abu Salim di Tripoli, Libya.


Dia percaya penjara itu berhampiran bandar pelabuhan Sirte, iaitu kampung halaman Ghaddafi. Kawasan itu kini menjadi salah satu baki kubu sokongan.

Vandyke kemudiannya dipindahkan ke penjara Abu Salim yang menempatkan tahanan politik di bawah rejim Ghaddafi. Penjara berkenaan kelihatan bersih dan mempunyai kemudahan seperti sinki, tandas, tempat mandi dan tilam. Dia menikmati tiga kali makan sehari dan tidak diseksa atau didera.

Tetapi dia dikurung secara berasingan. "Saya menghabiskan masa di sini dan tidak pernah meninggalkan sel. Tiada apa yang boleh dilakukan, tiada buku kecuali membaca label kotak susu yang ditulis dalam bahasa Perancis. Malah, tiada sesiapa untuk diajak berbual dan tiada sesiapa pun yang datang menjenguk saya di sini," luah Vandyke kecuali pengawal yang datang menghantar makanan menerusi tingkap kecil di sel itu.

Situasi Vandyke menjadi semakin rumit kerana kehadirannya ke Libya bukan atas tiket wartawan. Sebaliknya, dia dianggap sebagai sebagai suspek.

Seksaan psikologi

"Mereka menyangka saya Agensi Perisikan Pusat Israel, Mossad. Lebih menakutkan mereka menyatakan saya tidak akan dapat melihat AS buat selama-lamanya," katanya.

Di dalam penjara, dia berusaha mengekalkan tahap kesihatan dan kewarasan dengan mundar-mandir selama 10 jam sehari di dalam sel kecilnya itu sambil menatap sekeping gambar budak perempuan di penutup sabun yang rupanya seperti wajah bekas wanitanya ketika muda.

Setiap malam dia berasa bimbang kumpulan rejim datang untuk menyeksanya.

"Bersendirian merupakan satu seksaan psikologi. Saya ingin kekal bertenaga tetapi mood saya bercelaru. Saya memikirkan banyak benda sehingga saya hilang kawalan," ujarnya yang menjadi obses mencuci tangan ketika berada di dalam sel penjara.

Bersendiri di negara asing itu, Vandyke langsung tidak menyedari bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sedang melakukan serangan ke atas Libya manakala kumpulam pemberontak menjadikan bandar di timur Benghazi sebagai kubu pertahanan mereka.

Selain itu, Vandyke juga tidak tahu kumpulan pemberontak meraih keuntungan besar terhadap tentangan pada kuasa Ghaddafi. Dia tidak mengesyaki apa-apa apabila mereka menyerbu ibu negara minggu lepas.

Apabila dia mendengar letupan bom di luar penjara, dia berpendapat itu merupakan serangan tentera udara Ghaddafi kepada pemberontak manakala bunyi tembakan pula sebagai tanda kejayaan kumpulan Ghaddafi meraikan kemenangan.

Namun pada suatu malam salah seorang tahanan telah membuka sel dan memaksanya keluar. Pada waktu itu dia berpendapat bahawa semua banduan sedang melakukan rancangan lari dari penjara.

Sebaik saja keluar dari penjara, dia terdengar jeritan Ghaddafi telah digulingkan. Sementara itu, kira-kira 200 tahanan kelihatan berdiri di tepi jalan. Pada ketika itulah dia mula memahami apa yang sedang berlaku di Libya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: