PASANGAN bahagia ini hadir memeriahkan rumah terbuka Astro, baru-baru ini.
BAGAI menatang minyak yang penuh Mawi melayan isteri tersayang, Norashikin Rahmat, yang kini hamil empat bulan setengah. Isterinya yang dikahwini hampir tiga tahun lalu itu tidak dibenarkan melakukan kerja berat termasuk memandu, malah dia juga bagaikan guru disiplin yang sentiasa memerhatikan gerak-geri isterinya dari segenap sudut, supaya tiada apa-apa yang tidak elok berlaku pada kandungan.
“Selain itu Mawi juga sentiasa bertanya saya hendak makan apa. Sejak mengandung, saya agak kuat makan sampaikan berat badan naik sebanyak enam kilogram. Dia juga tidak mengizinkan saya buat kerja-kerja rumah, malah sejak mengandung, emak sering ke sini menemani saya.
“Pengalaman dua kali mengalami keguguran membuatkan saya amat berhati-hati. Sebab itu pada tiga bulan pertama mengandung, saya tinggal bersama keluarga di Johor Bahru. Bukan apa, di sana ada emak dan adik-beradik. Mereka boleh tolong tengok-tengokkan saya. Sepanjang di sana, boleh dikatakan setiap minggu Mawi berulang alik ke Johor,” kata Ekin yang kelihatan cukup gembira dengan rezeki yang dikurniakan.
Kata wanita ini lagi, dia berasa sungguh ajaib kerana dua bulan selepas pulang daripada menunaikan umrah, dia menerima berita gembira itu. Ketika menunjukkan ujian kehamilannya yang positif kepada Mawi, penyanyi itu pada mulanya enggan percaya berikutan dua kekecewaan yang pernah dilalui. Lalu, dia membawa isterinya menjalani ujian di hospital bagi mengesahkan lagi berita berkenaan.
Akui Ekin, sepanjang menunaikan umrah pada April lalu, doa memohon dikurniakan zuriat tidak lekang dari bibirnya. Justeru, dia berasakan satu keajaiban apabila dua bulan selepas kembali dari tanah suci, hasrat yang diimpikan selama ini tercapai.
“Memang tak boleh digambarkan kegembiraan ini dengan kata-kata. Mawi juga gembira, cuma dia tidak suka mempamerkan kegembiraannya depan orang. "Sekarang ini, kalau hendak ke mana-mana, Mawi akan pastikan ada orang yang menemani saya. Kalau hendak pandu kereta pun begitu juga, dia tidak benarkan saya memandu bersendirian. Selalunya emak yang akan menemani. Bagaimanapun, saya pun masih ada bapa dan adik-beradik lain di Johor, jadi emak tidak bolehlah kerap ke sini," cerita Ekin lagi.
Begitupun, mungkin sebelum bersalin nanti, mereka bercadang mahu mengambil pembantu rumah. Bukan saja jauh daripada ibunya, bahkan dia yang berhasrat melahirkan bayi itu di Johor Bahru berasa tidak lagi larat hendak melakukan semua kerja sendirian.
Ekin turut memberitahu, dia kini lebih selesa apabila tidak mengikut suaminya ke semua acara. Menurutnya, dia hanya akan menemani Mawi ke majlis tertentu dan tidak membabitkan kerja.
Sebelum ini, kerap juga kedengaran cerita kurang enak apabila dia dikatakan sering mengikuti si suami ke mana saja penyanyi berkenaan melangkah. Sedikit sebanyak kata-kata itu menghiris perasaannya.
“Sebenarnya, sejak sebelum mengandung lagi saya sudah tidak mengikut suami. Saya rasa lebih senang begini,” katanya yang dijangka bakal menyambut kehadiran zuriat pertama dengan Mawi sekitar April nanti.
Perlukan lagu berhantu
SEMENTARA itu, nama Mawi sejak akhir-akhir ini dilihat agak tenggelam selepas popularitinya mencanak naik sebaik saja menyertai program AF musim ketiga pada 2005.
Selepas kejayaannya itu, selama tiga tahun berturut-turut (2005 - 2007) dia yang digelar Raja SMS berjaya menggenggam trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Justeru, akui penyanyi Aduh Saliha ini, dia memerlukan sebuah lagu yang dapat memberikan impak dan melonjakkan kembali namanya dalam arena seni suara. Katanya, dia kini mempunyai beberapa lagu yang berpotensi untuk diketengahkan, tetapi dia perlu memilih sebuah lagu yang terbaik untuk dijadikan single.
“Saya ada meminta lagu dari beberapa komposer, tetapi berkemungkinan saya memilih lagu daripada seorang komposer baru. Saya sukakan melodinya malah saya percaya peminat akan dapat menerimanya. Lagu berkenaan berkonsepkan pop rock.
"Saya perlu kekalkan identiti kerana tidak mahu lari daripada konsep saya sebelum ini,” katanya mengenai single yang dijangka keluar pada Disember ini.
INFO
Album Mawi:
- Best Of Mawi World
- Mawi... Yang Tercinta
- Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu
- Mawi Yang Tercinta MTV Karaoke
- Selingkar Kisah (Kehidupan Seharian Mawi di AF)
- Satu Dalam Seribu
- Allah Habeebi
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: